Kempen Tabung Pahlawan diteruskan hingga Julai 2024

Bernama
Ogos 22, 2023 18:45 MYT
Kempen Tabung Pahlawan 2023 dirasmikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira di sini, hari ini. - Facebook Kementerian Pertahanan Malaysia
KUALA LUMPUR: Kempen Tabung Pahlawan yang bermula bulan ini akan diteruskan hingga Julai 2024 bagi menyantuni veteran Angkatan Tentera Malaysia.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM akan bertanggungjawab dalam melaksanakan kempen dan kutipan Tabung Pahlawan yang bertemakan "Demimu Pahlawanku".
"Bagi menggalakkan penyertaan daripada pelbagai pihak, sumbangan yang dihulurkan akan diberi penolakan daripada cukai pendapatan di bawah kuasa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," menurut kenyataan itu.
Terdahulu Kempen Tabung Pahlawan 2023 dirasmikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira di sini, hari ini.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 14 veteran ATM yang cedera ketika bertugas pada pelancaran kempen tersebut.
Menurut kenyataan itu, objektif utama pelancaran kempen tersebut adalah sebagai tabungbantuan kecemasan bagi menyantuni komuniti veteran ATM yang memerlukan bantuan sokongan yang mungkin tidak dapat disalurkan oleh kerajaan dalam keadaan tertentu.
"Sumbangan daripada tabung ini juga sudah pasti akan digunakan untuk meringankan beban kewangan keluarga veteran seperti perolehan peralatan pesakit yang tidak dapat dibekalkan JHEV ATM terutamanya yang bersifat khas atau customized berdasarkan kepada isu kesihatan yang dihadapi dengan perakuan pegawai perubatan.
"Melalui inisiatif ini juga, ia dapat merangsang dan meningkatkan tahap partriotisme sekali gus memupuk semangat menghargai jasa veteran dalam kalangan semua lapisan rakyat Malaysia," menurut kenyataan itu.
Orang ramai juga berpeluang menyumbang sempena kempen berkenaan menerusi akaun Yayasan Veteran ATM iaitu Malayan Banking Berhad 5643 4262 2956; CIMB Islamic Bank Berhad 8604 2715 71 atau Tabung Rayuan Hari Pahlawan di Affin Islamic Bank Berhad 1059 5000 3201) atau di laman https://tabungpahlawan.com/.
-- BERNAMA
#Tabung Pahlawan #VETERAN ATM #Angkatan Tentera Malaysia #sumbangan
;