Kempen Tabung Pahlawan 2019 berjaya capai sasaran RM9.2 juta
Faris Danial Razi
Oktober 21, 2019 22:15 MYT
Oktober 21, 2019 22:15 MYT
Kempen Tabung Pahlawan 2019 berjaya melebihi sasaran minimum selepas memperolehi sebanyak RM9.2 juta sejak ia mula dilancarkan pada Ogos lalu.
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan menyasarkan sebanyak RM6 juta kutipan bagi mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan bagi membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tanggungan pada masa depan.
Antara penyumbang terbesar ialah ADAP 4orty Global Sdn Bhd yang menyumbang RM1 juta dan tajaan RM400,000, diikuti dengan Yayasan Al-Bukhary, dan Weststar Group yang masing-masing menyumbang wang tunai sebanyak RM1 juta.
Susulan itu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata dengan hasil sumbangan ini, objektif kempen dapat direalisasikan dengan jayanya.
Beliau berkata, pelbagai insiatif telah dijalankan oleh pihaknya di antaranya ialah beberapa promosi yang dilaksanakan melalui pelbagai platform untuk menguar-uarkan kepada segenap pelusuk negara.
Ia termasuk kepada mengadakan program seperti semarak kasih veteran: Food for Gelandangan, Kempen Derma Darah dan juga beberapa siri ‘flash mob’ di sekitar kawasan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, beberapa program lain yang turut akan dilaksanakan antaranya adalah jelajah motosikal Kempen Tabung Pahlawan yang dijangka pada awal November ini, serta larian amal veteran ATM dan malam penghargaan pada Februari tahun depan.
Bagaimanapun, Mohamad Sabu turut menyatakan bahawa kutipan tersebut masih akan diteruskan di masa hadapan.
“Saya menyeru kepada semua agar sumbangan yang telah diberikan kepada pahlawan negara-negara ini akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal yang diadakan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, kempen berkenaan diteruskan bagi mengumpul lebih banyak dana untuk membantu veteran ATM yang mengalami kesukaran terutama veteran orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan kerusi roda, golongan asnaf dan bantuan kemasukan persekolahan.
“Dana Tabung Pahlawan adalah bertujuan bagi bantuan kebajikan kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga secara menyeluruh merangkumi Veteran Kelainan Upaya (VKU), bantuan kepada balu dan anak-anak veteran dalam kategori OKU.
Di samping itu, ia juga akan diagihkan kepada veteran yang terlibat dalam musibah dan bencana alam, bantuan ihsan bagi veteran dan balu veteran yang dalam keadaan daif, dan banyak lagi.
Majlis Makan Malam Amal Kempen Tabung Pahwlawan 2019 turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah selaku Penaung Tabung Pahlawan bagi majlis pelancaran dan meraikan penyumbang dana.
#ADAP 4orty Global
#Angkatan Tentera Malaysia
#capai sasaran
#Kementerian Pertahanan
#Kempen Tabung Pahlawan
#Mohamad Sabu
#VETERAN ATM
#Weststar Group
#Yayasan Al-Bukhary