Kempen Stay Safe Win SSPN-i 2021, tawar hadiah bernilai hampir RM240,000
Bernama
Jun 12, 2021 13:10 MYT
Jun 12, 2021 13:10 MYT
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan pelbagai hadiah bernilai hampir RM240,000 untuk 39 pemenang menerusi Kempen Stay Safe Win SSPN-i 2021 yang dilancar hari ini.
Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata hadiah utama yang ditawarkan ialah sebuah kereta Proton X50 bagi kategori Platinum, Perodua Myvi 1.5cc bagi kategori Gold dan motosikal Yamaha Y15zr untuk kategori Silver.
Pemenang tempat kedua, ketiga dan sagu hati bagi setiap kategori juga berpeluang memenangi hadiah seperti barangan kemas, komputer riba dan wang tunai.
“Kempen ini terbuka kepada pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) yang membuka akaun dan membuat penambahan deposit dalam tempoh promosi, mulai 1 Jun sehingga 30 Sept 2021,” katanya dalam ucapan pelancaran kempen itu di Facebook PTPTNOfficial, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata untuk menyertai kempen tersebut, pelanggan hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan deposit minimum RM200 dalam tempoh promosi dan mengekalkannya (tidak mengeluarkan deposit) selama tiga bulan selepas tamat tempoh promosi iaitu bermula 1 Oktober hingga 31 Dis 2021.
Ahmad Dasuki berkata setiap simpanan bernilai RM50 akan melayakkan pendeposit mendapat satu cabutan dan penyertaan adalah secara automatik.
Jelasnya, pelancaran kempen itu adalah usaha PTPTN agar rakyat Malaysia sentiasa mengutamakan simpanan demi masa depan di samping mengamalkan penjagaan kesihatan diri dan keluarga dalam menghadapi cabaran COVID-19.
“Norma baharu kini menuntut amalan bekerja dari rumah, pembelajaran secara dalam talian dan duduk di rumah dan situasi ini sedikit sebanyak telah membantu mengurangkan perbelanjaan tertentu seperti kos perjalanan, hiburan dan aktiviti sosial.
“Oleh itu, adalah sangat wajar bagi ibu bapa untuk merancang perbelanjaan serta pengurusan kewangan keluarga sebaiknya dan memastikan sebahagian daripada perancangan kewangan itu disimpankan untuk masa depan anak-anak,” katanya.
Pembukaan dan penambahan simpanan SSPN boleh dibuat secara dalam talian di www.lovesspn.com.
-- BERNAMA
#SSPN-i
#Kempen Stay Safe
#Ahmad Dasuki Abdul Majid
#PTPTN
#Kempen Stay Safe Win SSPN-i 2021
#hadiah
#pendeposit
#perbelanjaan
#ibu baoa
#pengurusan kewangan
#norma baharu