Kempen 'Sia Sitok' angkat kembali sektor pelancongan Sarawak

Astro Awani
Ogos 18, 2020 19:44 MYT
Sarawak terus melangkah ke depan dengan aturan strategi baharu bagi merancakkan ekonomi negeri pasca COVID-19 dan ini termasuk ekonomi bagi sektor pelancongan. - Gambar Astro AWANI
KUCHING: Satu kempen untuk mengangkat kembali industri pelancongan Bumi Kenyalang pasca COVID-19, ‘Sia Sitok’ diperkenalkan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).
Melalui kempen ini, pelbagai tawaran menarik termasuk 30 pakej pelancongan dengan potongan diskaun sehingga 50 peratus ke destinasi tumpuan negeri itu dapat dinikmati oleh pelancong dari dalam dan luar negara.
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, peluang itu juga dapat dimanfaatkan oleh pemain industri pelancongan tempatan bagi merancakkan ekonomi negeri.
“Kita akan umumkan satu lagi pakej baharu yang lain dikenali sebagai pakej ‘Intra-State’.
“Rakyat Sarawak akan diberi keutamaan dalam pelaksanaan kempen ini di mana mereka amat digalakkan untuk melancong dalam negeri sendiri serta menikmati keindahan Bumi Kenyalang.
“Selepas ini, pakej-pakej lain juga akan dibuka dengan fokus pelancong daripada Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan negara jiran Brunei,” katanya pada pelancaran kempen Sia Sitok di sini pada Isnin.
Tambah Karim lagi, antara destinasi yang terlibat dalam kempen ini adalah Kuching, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Mulu.
Ujarnya, jualan pakej-pakej berkenaan adalah dalam tempoh tiga bulan iaitu bermula 15 Julai sehingga 15 Oktober depan, dengan tempoh perjalanan bermula hari ini sehingga 31 Disember tahun ini.
Antara pakej dan aktiviti menarik yang dirancang dalam menjayakan kempen ini termasuk Sarawak River Cruise, Irrawady Dolphin River Cruise, Bird Watching Do Taman Negara Kubah, lawatan ke Taman Negara Tanjung Datu dan pelbagai lagi.
#AWANISarawak #AstroAWANI #DatukAbdulKarimRahmanHamzah #LembagaPelanconganSarawak #SiaSitok #Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abd #COVID-19
;