Kempen #ServeSomethingNice dapat sambutan menggalakkan
Azyyati Ahmad
Ogos 31, 2014 07:20 MYT
Ogos 31, 2014 07:20 MYT
Kempen #ServeSomethingNice kelolaan syarikat Zubedy Sdn Bhd bersama Kechara Soup Kitchen yang berlangsung dari 31 Ogos sehingga 16 September mendapat sambutan yang menggalakkan.
Kempen ini memasuki tahun kedua bagi Zubedy bersama Kechara dalam memberi sumbangan kepada golongan gelandangan.
Menurut pengasasnya, Anas Zubedy, pada hari pertama kempen dilancarkan, pihaknya berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM8,000.
Sehingga Ahad, kempen berjaya mengumpul sebanyak RM16,000.
“Sambutan yang diterima sangat baik, pada malam ia dilancarkan, kami berjaya mengumpul kira-kira RM8,000.
Bermula 31 Ogos sehingga 16 September nanti, kami akan bersama Kechara Soup Kitchen akan memberi makanan dan sumbangan kepada golongan gelandangan” jelas Anas ketika ditemui Astro AWANI.
Kata Anas, kempen ini dimulakan pada hari istimewa iaitu Hari Kebangsaan dalam menggabungkan kemahiran rakyat Malaysia ke arah kebaikan.
Kempen #ServeSomethingNice merupakan salah satu cabang projek di bawah kempen #SaySomethingNice.
Untuk menyumbang, orang ramai boleh melayari laman blog Anas Zubedy untuk mengetahui cara menderma atau menyertai kempen ini.
Sementara itu, Pengurus Projek Kechara, Justin Cheah turut melahirkan rasa syukur kontroversi yang melanda projek ini sedikit sebanyak telah membuka mata pelbagai syarikat korporat untuk memberikan sumbangan kepada organisasi dapur jalanan seperti Kechara.
“Di Malaysia, sememangnya banyak syarikat korporat yang prihatin dalam memberi sumbangan.
Sejak kontroversi tercetus, sehingga kini sumbangan dari segi kewangan, makanan dan sukarelawan banyak diterima oleh pihak kami” kata Justin di acara yang sama.