Kempen #savethehawker bantu penjaja terjejas COVID-19
Haikal Raman
Januari 27, 2022 19:52 MYT
Januari 27, 2022 19:52 MYT
KUALA LUMPUR: Teruskan hidup tanpa pernah menyerah. Itu kata-kata semangat yang boleh membuatkan kita bangkit meskipun lelah dilanda ‘badai’ penularan pandemik COVID-19.
Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, sebanyak 37,415 perniagaan terpaksa ‘gulung tikar’ berikutan terkesan pandemik COVID-19.
Sebanyak 26,007 daripada jumlah tersebut merupakan usahawan mikro diikuti 2,738 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurut Noh, angka perniagaan gulung tikar itu adalah berdasarkan kepada kajian impak kawalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ke atas landskap usahawan di Malaysia pada 15 hingga 28 Jun lalu.
Prihatan terhadap perkara tersebut, Aset Kayamas Sdn. Bhd. (Aset Kayamas) dan Melody FM menggerakkan kempen #savethehawker bagi membantu penjaja-penjaja yang terjejas sebagai usaha membantu mereka untuk bangun meneruskan perniagaan.
Pengerusi Aset Kayamas, Tan Sri Chai Kin Kong berkata, kempen #savethehawker ini membantu 40 penjaja yang memerlukan dengan memberi wang tunai sebanyak RM3,000 seorang.
“Keseluruhan RM120,000 diberikan kepada 40 penjaja yang dipilih daripada cadangan-cadangan orang ramai yang sayang dan inginkan penjaja ini terus menjual makanan kegemaran mereka.
“Kempen ini bersempena dengan ulangtahun ke-10 Aset Kayamas… kami memilih untuk menyambut ulangtahun ini dengan cara yang sedikit berbeza iaitu dengan membantu para penjaja yang terkesan akibat pandemik ini,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Tambah Kin Kong, dia mengharapkan bantuan yang diberikan dapat membantu penjaja-penjaja yang menjual ‘true food of Malaysia’ ini untuk meneruskan perniagaan masing-masing.
Dalam pada itu, Penyanyi, Masya Masyitah yang turut terlibat dalam kempen ini berkata, pihaknya memahami kesukaran yang terpaksa ditanggung oleh penjaja-penjaja tersebut dan berharap ‘kejutan’ ini dapat meringankan beban mereka.
“Seperti mana kita tahu, pada tahun lalu (2020) terlalu banyak cabaran yang terpaksa kita hadapi terutamanya kepada para penjaja kecil. Justeru itu, kami ingin memberi hadiah dan membuat kejutan kepada mereka.
“Apa-apa pun kita tidak boleh menyerah dan perlu menyokong perniagaan penjaja lokal ini untuk terus lakukan yang terbaik!,” ujarnya.
Dalam pada itu, penjaja yang dikenali sebagai Madam Wong berkata, dia terpaksa berhenti berniaga selama tiga bulan dan hanya duduk di rumah ketika pelaksanaan PKP 1.0.
Dia yang menjual karipap kaya, kek gulung dan tart telur sejak lebih 40 tahun itu hanya bergantung dengan wang simpanan yang ada sahaja bagi tempoh tersebut.
“Selalunya untuk berniaga, saya akan bangun seawal 1 pagi dan menyiapkan makanan jualan bersama-sama anak.
“Pada pelaksanaan PKP 2.0, saya tidak berniaga selama 10 hari. Kita terpaksa tutup dah hanya duduk di rumah kerana tidak dibenarkan untuk keluar ke mana-mana,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau kini bangkit untuk meneruskan perniagaan yang terletak di Jalan Yap Ah Loy, di sini.