Kempen #SatuJariBebasRasuah dorong orang ramai keluar mengundi

Astro Awani
September 30, 2022 04:20 MYT
Rasuah Busters memulakan kempen #SatuJariBebasRasuah sebagai dorongan untuk orang awam keluar mengundi apabila tiba masanya nanti.
KUALA LUMPUR: Tidak kira bila tarikh pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya ke-15 (PRU15), satu yang pasti ialah kuasa penentunya di tangan rakyat.
Untuk itu, Rasuah Busters memulakan kempen #SatuJariBebasRasuah sebagai dorongan untuk orang awam keluar mengundi apabila tiba masanya nanti.
Dalam satu kenyataan, Rasuah Busters berkata orang ramai perlu mempersiapkan diri untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dan menentukan masa depan negara.
"Sebelum ini amat ramai yang mengeluh serta marah tentang bermaharajalelanya budaya memberi dan menerima rasuah serta salah guna kuasa dalam hampir setiap peringkat masyarakat dan sektor termasuk politik, bisnes, pentadbiran awam, penguatkuasa, pendidikan, kesihatan, alam sekitar, kehakiman serta korporat malah agama.
"Runtuhnya dan reputnya sistem nilai di dalam negara kini menyebabkan gejala rasuah dan salah guna kuasa ini menjadi semakin parah dan kini menjejaskan kehidupan rakyat jelata. Negara menjadi lebih miskin dan banyak kemudahan awam yang sepatutnya dinikmati rakyat, tidak dapat diadakan," kenyataan itu menyebut.
Tambahnya lagi, keadaan ini hanya dapat dibaiki dan diubah dengan adanya kemahuan politik yang kuat oleh pemimpin politik yang dipilih secara sah untuk meneraju kerajaan.
"Hanya ahli parlimen yang berintegriti, ikhlas serta jujur memperjuangkan kepentingan rakyat yang dipilih oleh rakyat, akan memastikan reformasi undang-undang, institusi serta pentadbiran kerajaan yang bersih serta efisen dapat dilaksanakan sesegera mungkin.
"Siapa yang akan memilih mereka? Siapa yang akan mengangkat individu pemimpin yang ikhlas, jujur dan berintegriti ini ke atas untuk jadi pemimpin? Kitalah!"
#Rasuah #Parlimen #pilihan raya #mengundi
;