Kempen 'Protect Your Heart Now' ketengah digitalisasi penjagaan kesihatan

Madiha Abdullah
September 7, 2021 19:59 MYT
Presiden AstraZeneca Malaysia, Dr. Sanjeev Panchal (kiri) dan CEO IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim yakin kerjasama ini mampu kesedaran masyarakat selain mendorong digitalisasi dalam penjagaan kesihatan. - Foto/IMU/IJN
KUALA LUMPUR: Sempena Hari Jantung Sedunia pada 29 September, empat organisasi berpengaruh, AstraZeneca, DoctorOnCall, Institut Jantung Negara (IJN) dan Prudential Malaysia, telah bekerjasama untuk melancarkan kempen kesedaran 'Protect Your Heart Now'.
Kerjasama ini adalah sebahagian usaha berterusan untuk mengurangkan penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini melalui kesedaran masyarakat selain mendorong digitalisasi dalam penjagaan kesihatan.
Presiden AstraZeneca Malaysia. Dr Sanjeev Panchal, berkata pandemik COVID-19 membawa kesan yang lebih buruk terhadap mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau komorbiditi seperti penyakit jantung.
Katanya rekod menunjukkan 80 peratus kematian COVID-19 mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan lain.
“Di AstraZeneca, kami komited dalam memainkan peranan penting untuk menyokong perjuangan Malaysia melawan NCD dengan memperkuat ekosistem penjagaan kesihatan.
"Kami mulakan kempen awam secara maya selama dua hari, dengan matlamat memperkasakan masyarakat dengan sumber, platform dan penyelesaian digital yang akan membolehkan mereka menguruskan kesihatan jantung mereka dengan lebih baik," katanya.
Sementara itu, IJN sebagai pusat jantung perdana di negara ini, yakin dengan pendekatan pencegahan yang bersifat holistik terhadap perubatan, terutamanya kerana hubung kait yang kuat antara kesihatan jantung dan kesejahteraan masyarakat secara amnya.
"Ketika dunia fokus kepada COVID-19, penyakit jantung tetap pembunuh nombor satu dunia. Pada 2019, dianggarkan lebih 18 juta orang meninggal dunia kerana penyakit jantung.
"Di Malaysia pula, pada tahun yang sama, 16,325 orang meninggal dunia kerana Ischemic Heart Disease (IHD) sahaja. Secara purata, 45 orang meninggal dunia setiap hari kerana penyakit jantung.
"Sehingga kini, penyakit jantung adalah punca utama kematian individu berusia 41 tahun ke atas. Ini juga didorong oleh masalah kesihatan yang berkaitan seperti obesiti, kencing manis dan darah tinggi," kata Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim.
Protect Your Heart Now akan berlangsung secara maya pada 11 dan 12 September, dan mereka yang berminat untuk menyertai boleh mendaftar di www.protectyourheartnow.com.my atau menerusi aplikasi mudah alih Pulse by Prudential. Pendaftaran dibuka bermula 7 September.
#Hari Jantung Sedunia #Protect Your Heart Now #COVID-19 #penyakit jantung
;