Kempen PRN: Elak sentuh isu 3R demi keharmonian rakyat - Pakar

Bernama
Jun 19, 2023 20:22 MYT
Noor Nirwandy berkata, memainkan isu 3R semasa berkempen boleh menyebabkan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat serta mengundang kesan buruk kepada negara. - Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Penceramah dan ahli politik perlu elak menyentuh sebarang isu sensitif melibatkan kaum, agama dan institusi raja (3R) demi keharmonian masyarakat negara ini ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata ini kerana memainkan isu 3R semasa berkempen boleh menyebabkan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat serta mengundang kesan buruk kepada negara, selain bertentangan dengan matlamat asal berpolitik iaitu memperjuangkan hak rakyat.
"Rakyat harus difahamkan bahawa politik ini bertujuan untuk membangkitkan isu-isu berkepentingan rakyat, bukannya mewujudkan persengketaan atau perkara-perkara yang tidak perlu diperdebat atau dibincangkan.
"Tugas ahli politik pula ialah menjaga DUN (Dewan Undangan Negeri) dan Parlimen masing-masing untuk pastikan solusi kepada permasalahan dan kepentingan rakyat dapat diselesaikan dengan sempurna.
"Kempen yang dijalankan juga perlu mengangkat prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, UiTM itu, berkata terdapat beberapa peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mempermainkan isu berkaitan 3R.
Misalnya, Noor Nirwandy berkata pihak yang cuba mempolemikkan perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Kanun Keseksaan (Akta 574).
Sementara itu, beliau mencadangkan agar calon parti politik mengikuti kursus keselamatan negara sebagai salah satu syarat sebelum bertanding dalam pilihan raya bagi memastikan mereka faham batas-batas yang perlu dihormati dan dipatuhi sebagai ahli politik.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memberi amaran kepada semua pihak untuk tidak menyentuh sensitiviti 3R sepanjang PRN di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan serta Pulau Pinang yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Sementara itu, pemerhati isu semasa, Noor Mohamad Shakil Hameed, pula berkata pemimpin politik sewajarnya menjadi suri teladan dan memainkan peranan dalam mengeratkan hunbungan silaturahim dan perpaduan antara rakyat termasuk dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi.
"Isu 3R sangat sensitif, justeru elaklah menjadikannya sebagai modal politik. Rakyat semakin muak dan bosan dengan gelagat ahli politik yang suka menggunakan 3R sebagai alat untuk menakutkan rakyat... Pengundi wajar menolak ahli politik yang membangkitkan isu 3R.
PAKAR-3R 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
"Jangan gadai keharmonian rakyat dan kestabilan negara disebabkan cita-cita politik yang sempit. Pemimpin perlu kawal diri dan perlu juga kawal gelagat para penyokong dan akar umbi agar tidak menyentuh isu ini dalam apa jua keadaan sekalipun," katanya.
Sementara itu, Noor Mohamad, yang juga Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata sebagai pengundi muda, mahasiswa perlu berani untuk memberi pandangan, idea mahupun kritikan mengenai ideologi dan manifesto mana-mana parti politik.
Katanya, sebagai golongan intelek, mahasiswa perlu bertindak matang dan profesional dengan memberi komen mahupun kritikan secara membina serta mengelak daripada dijadikan alat oleh ahli politik yang cuba ambil kesempatan dengan memainkan isu sensitif.
"Mahasiswa perlu elak dijadikan alat oleh ahli politik yang cuba ambil kesempatan sebaliknya perlu perjuangkan prinsip yang jelas.
"Ini termasuk memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab dengan mengundi calon ataupun parti yang membawa agenda integriti, tadbir urus dan tatakelola yang baik serta menolak budaya rasuah dan salah guna kuasa," katanya.
Noor Mohamad juga berharap media dapat menapis sebarang berita, pandangan dan ulasan sensitif berbaur perkauman yang diterima ketika melakukan liputan agar perpaduan rakyat dan kestabilan dalam negara terjamin.
-- BERNAMA
#kempen politik #kaum #agama #RAJA #3R #PRN
;