Kempen Pilihan Raya Pecat sasar kembalikan hak sepenuhnya kepada rakyat
Madiha Abdullah
Jun 21, 2021 13:54 MYT
Jun 21, 2021 13:54 MYT
KUALA LUMPUR: Permintaan untuk mengadakan Pilihan Raya Pecat (PRP) semakin meningkat di Malaysia dalam 15 bulan terakhir sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Justeru, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini melancarkan Kempen Simulasi Pilihan Raya Pecat bagi mengenal pasti kelemahan sekali gus membantu memperkukuhkan institusi demokrasi berparlimen.
Untuk tujuan itu, Bersih bekerjasama dengan rakan teknologi, ReGov Technologies untuk mengembangkan sistem PRP di platform e-undi.
"Kami lakukan simulasi ini untuk membawa orang awam terbabit sama dan membawa kesedaran supaya mereka akan beri sokongan.
"Kami sudah berbincang dengan ramai ahli politik dan pemegang taruh sejak setahun yang lepas, melalui webinar dan mengeluarkan kenyataan serta laporan.
"Sekarang kami mahu sokongan orang ramai dan apa yang kami harapkan ialah anda semua dapat memberi tekanan kepada ahli politik dan parti politik untuk memberi komitmen dan menjadikan ini sebahagian daripada undang-undang," kata Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann.
PRP akan mengimbangkan kekuatan yang diberikan oleh pengundi kepada pemimpin yang dipilih dengan cara mengembalikan sebahagian kuasa dan memberi mereka kuasa untuk memecat mana-mana pemimpin.
Dengan cara ini, pengundi yang tidak berpuas hati dengan wakil rakyat mereka dapat mengajukan petisyen untuk pemecatannya dalam kadar segera dan tidak perlu menunggu pilihan raya berikutnya.
"Kembalikan maruah pengundi dan kuasa kepada orang awam, undian rakyat yang sepatutnya menentukan bagaimana negara ini patut maju ke hadapan.
"Wakil rakyat tidak seharusnya dibenarkan buat keputusan untuk rakyat dan ambil tindakan yang megkhianati kepercayaan rakyat. Pilihan raya sepatutnya tentang rakyat dan pengundi, bukan tentang parti politik," kata bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ariff Yusof, yang diberi penghormatan melancarkan kempen tersebut secara maya.
PRP juga alternatif terbaik bagi undang-undang anti lompat parti, yang yang sebelum ini ditolak oleh Mahkamah Persekutuan atas alasan ia akan melanggar Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
Sistem Pilihan Raya Pecat sudah digunakan secara meluas di Amerika Syarikat, wilayah British Columbia di Kanada, Jepun, Taiwan, Filipina, Switzerland dan Ukraine.