Kempen Pengangkutan Awam Tanpa Tunai diperluas - Loke

Rahimah Abdullah
Jun 17, 2019 15:51 MYT
Loke mencuba mesin transaksi tanpa tunai pada Majlis Pelancaran Kempen 'Go Cashless on Public Transport' di KL Sentral hari ini. - BERNAMA
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hari ini melancarkan Kempen Penggunaan Pengangkutan Awam Tanpa Tunai di KL Sentral.
Jelasnya, kempen itu dalam usaha mempromosikan kesedaran dan penggunaan sistem tanpa tunai dalam kalangan masyarakat.
Malah katanya, kempen berkenaan juga menggalakkan lebih ramai masyarakat menggunakan pengangkutan awam.
"Saya yakin apabila kita menggunakan sistem tanpa tunai ini, ia akan meningkatkan jumlah pengguna pengangkutan awam dan memudahkan perjalanan mereka.
"Apabila kita menggunakan sistem ini maka pihak operator boleh menganalisa data-data dan trend penggunaan penumpang," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Pengangkutan Awam Tanpa Tunai di KL Sentral.
Kempen dianjurkan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan hasil kerjasama Boost e-wallet, GrabPay, Mastercard, Maybank, Touch 'n Go, UnionPay dan Visa.
Justeru, beliau menggalakkan operator pengangkutan awam memanfaatkan analisa data melalui sistem tanpa tunai berkenaan dalam usaha memperkenalkan harga dinamik.
"(Melalui penggunaan sistem tanpa tunai) Kita akan dapat mengetahui penumpang pakai berapa kali (sistem tanpa tunai) dan waktu digunakan, iaitu pada waktu puncak atau semasa bukan waktu puncak.
"Maka kalau kita boleh memberikan insentif dan sebagainya, dan ini akan menambah jumlah pengguna (pengangkutan awam)," tambahnya.
#Anthony Loke #go cashless #pengangkutan awam #sistem tanpa tunai
;