Kempen pemilikan rumah antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Bernama
November 20, 2019 09:02 MYT
November 20, 2019 09:02 MYT
Persoalan sejauh mana Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kepada pembeli warga asing dapat mengatasi isu lambakan rumah mewah tidak terjual dijangka menjadi tumpuan Persidangan Dewan Rakyat yang masuk hari ke-26, hari ini.
Mengikut aturan mesyuarat Dewan Rakyat, persoalan itu dibangkitkan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan oleh Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang turut mahukan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan sejauh mana langkah itu mampu memulihkan ekonomi negara.
Turut dijangka mencuri tumpuan ialah persoalan yang dibangkitkan Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar tentang Skim Pembiayaan Pembangunan Ekonomi Desa (SPED).
Selain itu, soalan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) tentang langkah diambil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk meningkatkan pelancongan di negeri-negeri yang bersempadanan dengan negara jiran, turut menarik perhatian.
Persidangan Dewan Rakyat berlangsung sehingga 5 Dis ini.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat
#ekonomi
#kerajaan
#lambakan rumah mewah
#negara jiran
#pelancongan
#rakyat
#rumah
#rumah tidak terjual
#Skim Pembiayaan Pembangunan Ekonomi Desa
#SPED
#warga asing