Kempen Pembudayaan Norma Baharu KKMM bermula di Rumah Panjang Akat
Astro Awani
September 16, 2020 13:54 MYT
September 16, 2020 13:54 MYT
Akat Akong, Tuai Rumah Panjang Akat, di sini. Pada Selasa seisi penduduk rumah panjangnya menerima kunjungan rombongan Jabatan Penerangan Malaysia.
Tujuannya untuk menerangkan secara terperinci mengenai COVID-19 menerusi Kempen Pembudayaan Norma Baharu, inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
Bagi Akat, kempen ini penting bagi penduduk rumah panjang supaya mereka tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan buat masa ini bagi mencegah wabak ini daripada terus merebak.
"Sekarang sudah makin pulih orang ramai sudah boleh pergi kerja, ke pasar dan bersiar-siar.
"Sebelum ini agak susah sedikit tetapi sekarang normal baru sebab kita cara baru sekarang ini cukup baik tidak ada apa-apa sebab sudah diterangkan Jabatan Penerangan Malaysia," katanya kepada Astro AWANI.
Akat pada masa sama berbangga rumah panjangnya jadi destinasi pertama kempen ini sejak dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Sukan Pagoh, Johor pada 8 Ogos lalu.
Sementara itu Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Suriani Ahmad berkata, inisiatif ini akan dilaksanakan di seluruh negara dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.
Ia juga fokus untuk mengukuhkan kawalan kendiri dan komuniti khasnya di kawasan pedalaman termasuk rumah panjang dan perkampungan.
"Saya menyeru agar pemimpin masyarakat, pemimpin NGO, serta ahli jawatankuasa kampung agar memainkan peranan masing-masing.
"Saling mengingatkan penduduk rumah panjang, kawasan perumahan dan kejiranan agar mematuhi segala SOP serta terus mengamalkan pembudayaan normal baharu dan memutuskan rantaian COVID-19," pesannya.
Kempen Pembudayaan Norma Baharu ini bakal bergerak ke sekitar 153 daerah seluruh Malaysia dengan 459 program sehingga 31 Disember 2020.
#Akat
#Astro
#Astro Awani
#COVID-19
#Datuk Suriani Ahmad
#KKMM
#koronavirus
#Malaysia
#Muhyiddin Yassin
#norma baharu
#Perdana Menteri
#Rumah panjang
#Sarawak
#Sibu
#SOP