Kempen pelancongan bebas COVID-19 diperluas ke pulau peranginan

Hafizi Rosli
Julai 25, 2021 11:41 MYT
Datuk Seri Nancy Syukri kini berada di Pulau Pangkor yang menjadi antara pulau dipilih sebagai sebahagian daripada projek rintis program COVID-19 Free Destination - Foto Facebook/@hajahnancyshukri
KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Pelancongan (TRP) kini memasuki Fasa Kedua dengan elemen promosi menjadi fokus dalam menjayakan Program COVID-19 Free Destination.
Ia menyaksikan program 'COVID-19 Free Destination' ini diperluaskan ke pulau-pulau peranginan yang menjadi tumpuan utama pelancong seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan beberapa lagi pulau.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Syukri menjelaskan dalam akaun Facebook miliknya pada Ahad, elemen promosi menjadi fokus dalam menjayakan program ini dengan mempergiatkan kempen 'Promosi Rindu Melancong, Jom Vaksin Dulu'.
Jelasnya, beliau kini berada di Pulau Pangkor yang menjadi antara pulau peranginan dipilih sebagai sebahagian daripada projek rintis program berkenaan.
Tambahnya, turut diberi tumpuan, ialah khidmat sukarelawan dan bantuan kemudahan fasiliti sedia ada di bawah seliaan MOTAC sebagai usaha mempercepatkan proses pemberian vaksin.
Ia dijalankan secara 'outreach' kepada penduduk setempat di pulau berkenaan memandangkan sebahagian besar daripada mereka berada dalam sektor pelancongan.
Terdahulu, Fasa pertama TRP telah dimulakan pada 17 Julai lalu dengan menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis Program COVID-19 Free Destination dalam TRP.
Ia bagi merealisasikan sasaran 80 peratus populasi penduduk pulau tersebut divaksinasi sebelum diperluaskan ke destinasi-destinasi pelancongan lain seperti Pulau Pinang, Pahang, Johor, Melaka dan Sabah secara berperingkat sebagai ‘green travel bubble’.
Sumber Facebook hajahnancyshukri
#COVID-19 #sektor pelancongan #pelancong #pelancongan #vaksin #pulau
;