Kempen OXY bantu rapatkan jurang pendidikan anak-anak Orang Asli

Haikal Raman
Ogos 14, 2023 11:00 MYT
Selain sumbangan bahan pendidikan, TV LED dan peralatan muzik, bantuan program kelas tambahan turut memberi memfokuskan kepada penguasaan 3M murid-murid, iaitu membaca, menulis dan mengira. - Foto OXY
KUALA LANGAT: OXY, jenama di bawah Rohto-Mentholatum (M) Sdn Bhd (Rohto-Mentholatum), meneruskan kempen OXY ‘We care For Children Education’ dalam memberikan bantuan pendidikan kepada golongan kanak-kanak yang memerlukan.
Kempen yang memasuki edisi kedua kali ini memfokuskan kepada bantuan, pembiayaan dan sumbangan pendidikan yang membolehkan para pelajar orang asli mendapatkan peluang pendidikan setara.
Pengurus Kanan Jenama OXY Malaysia, Aaron Wong berkata, pihaknya percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat akses kepada tahap pendidikan yang berkualiti.
“Kempen ini juga bertujuan untuk merapatkan jurang pendidikan golongan kurang berkemampuan dengan rakan sebaya mereka yang lain, di samping melahirkan pemimpin masa hadapan.
“Kami sedar bahawa kadar keciciran sekolah antara kalangan orang asli adalah tinggi berbanding dengan populasi umum disebabkan beberapa faktor dan salah satunya adalah disebabkan isu sosio ekonomi.
“Justeru itu, kami berharap melalui usaha ini, ia dapat mengurangkan bebanan ibu bapa dan memberi peluang kepada anak-anak orang asli untuk memiliki masa depan lebih cerah dan peluang untuk mencapai impian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui pada kempen OXY ‘We care For Children Education’ di Sekolah Kebangsaan Sungai Judah (A), Pulau Carey di sini pada Rabu.
Turut hadir, Pengurus Besar Rohto-Mentholatum, Lim Mei Yuen.
Menurut Aaron, melalui kempen ini, pihaknya menyalurkan sumbangan kewangan kepada pelajar kurang berkemampuan untuk menghadiri kelas tambahan selepas waktu sekolah bagi meningkatkan prestasi mereka dalam mata pelajaran wajib.
“Program kelas tambahan ini memberi memfokuskan kepada penguasaan 3M murid-murid, iaitu membaca, menulis dan mengira. Selain daripada itu sumbangan dari segi peralatan muzik serta TV LED juga bertujuan memupuk suasana pembelajaran yang lebih interaktif dan kreatif bagi menarik minat para pelajar untuk lebih gemar ke sekolah.
“Misi jangka panjang kami adalah untuk menjadikan kempen ‘We Care For Children Education’ sebagai kempen tahunan supaya dapat membantu lebih ramai lagi kanak kanak kurang berkemampuan untuk meningkatkan tahap pendidikan mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Judah, Samsul Fadilah Asmara, pihaknya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada OXY kerana memberikan sumbangan kepada sekolah.
“Sumbangan OXY dari segi kelas tambahan, bahan pendidikan, alat muzik dan TV LED tentunya akan memberikan impak yang positif terhadap pembelajaran dan semangat untuk belajar di kalangan para pelajar.
“Dengan sumbangan ini, saya yakin para pelajar yang dikenalpasti lemah dalam pembelajaran akan lebih maju, malah pihak sekolah juga berharap jurang pendidikan antara pelajar-pelajar lain juga dapat dikurangkan,” jelasnya.
Penyediaan tujuh unit TV LED itu juga dilihat mampu meningkatkan semula minat dan pemahaman pelajar di sekolah tersebut dalam pelbagai subjek di samping memperkukuhkan literasi digital mereka dalam era digitalisasi ini.
Kempen OXY: Bantu rapatkan jurang pendidikan anak-anak Orang Asli
#Sekolah Kebangsaan Sungai Judah A #pendidikan berkualiti #Orang Asli #OXY
;