Kempen MYJalan manifestasi KKR sedia infrastruktur selamat, selesa kepada rakyat

Bernama
Ogos 24, 2024 17:30 MYT
Alexander berkata soal keselamatan pengguna jalan raya tidak boleh diremehkan dan perkara itu menjadi keutamaan sejak beliau menjejakkan kaki di KKR. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Meskipun hanya sebesar tapak tangan, kerosakan jalan raya yang tidak diselenggarakan boleh mengundang nahas dan menyebabkan kehilangan nyawa atau kecacatan kekal.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata soal keselamatan pengguna jalan raya tidak boleh diremehkan dan perkara itu menjadi keutamaan sejak beliau menjejakkan kaki di Kementerian Kerja Raya (KKR) apatah lagi apabila dibentangkan dengan data-data kerosakan jalan raya yang amat merisaukan.
Walaupun pelbagai usaha telah dibuat pentadbiran terdahulu, beliau berkata usaha memperluas gerak kerja membaiki dan menjaga infrastruktur jalan raya serta perabot jalan perlu digempur sehabis baik.
"Ini bukan soal RM2 juta atau RM2 bilion (kos terlibat), ini soal nyawa manusia yang tidak ternilai harganya," katanya kepada Bernama.
Hari ini, setahun yang lepas, menjadi detik bersejarah cukup bermakna buat KKR dengan tercetusnya kempen 'MYJalan' bagi menyenggara infrastruktur jalan raya atas tujuan utama untuk menjamin keselamatan dan memberikan keselesaan kepada rakyat.
Alexander berkata cetusan idea MYJalan bersama pasukan kementerian, dibantu agensi di bawahnya iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), berpaksikan kepada menyemai pemikiran akauntabiliti, mendidik pengguna jalan raya serta meningkatkan sistem pemantauan dan penyenggaraan, seiring aspirasi Kerajaan MADANI.
"Bulan Ogos 2023, kami bawa MYJalan ke Lebuhraya Timur Barat (LTB) Gerik-Jeli, antara laluan yang paling banyak menerima laporan kerosakan jalan yang membahayakan pengguna jalan raya di situ," katanya.
Beliau berkata sejak dilancarkan, MYJalan telah digerakkan ke seluruh negara oleh semua pasukan kementerian dan ditambah nilai dengan pelancaran aplikasi aduan MYJalan, berkonsepkan 'No Wrong Door Policy' yang menerima semua aduan berkaitan infrastruktur jalan raya, selain memperhebat kesedaran tentang kepentingan menyalurkan laporan.
Alexander berkata cercaan, cemuhan dan dilempar dengan kata-kata kurang manis menjadi 'peneman' sepanjang mengendalikan kempen tersebut, namun semuanya 'ditelan' demi melunaskan tanggungjawab dipikul.
"Walaupun usaha ini masih belum sempurna, tetapi kerja keras yang diambil semua pasukan kementerian harus saya berikan pujian. Membantu rakyat janganlah penat, manusia hormat, Tuhan pun sayang, itu yang sering saya kongsikan dengan semua pasukan kementerian dan agensi, setiap kali motivasi dijentik dengan cercaan," katanya.
Setahun MYJalan diperkenalkan, selain mendapat peruntukan keseluruhan sebanyak RM75.676 juta bagi kerja-kerja menaik taraf LTB Gerik-Jeli, kempen MYJalan juga berjaya meraih peningkatan peruntukan dalam Belanjawan 2024, katanya.
"Secara keseluruhan, KKR menerima peruntukan berjumlah RM9.511 bilion bagi 2024, iaitu peningkatan 12.7 peratus berbanding RM8.439 bilion yang diterima tahun lepas. Dari jumlah ini, sebanyak RM1.907 bilion diperuntukkan untuk penyenggaraan Jalan Persekutuan di seluruh negara.
"Meskipun masih belum mencukupi bagi menyenggara keseluruhan Jalan Persekutuan yang melebihi 18,000 kilometer (km), namun kami berusaha sedaya upaya memanfaatkan sepenuhnya peruntukan ini menyenggara infrastruktur jalan raya," katanya.
Alexander berkata menerusi MYJalan, peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 kepada setiap 115 jurutera daerah diberikan bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan kecil yang memerlukan tindakan segera di daerah seliaan masing-masing.
"Usaha ini dibuat bagi memperkasakan jurutera daerah yang saban hari terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerosakan kecil jalan raya yang tidak memerlukan kos yang tinggi. Tahun ini melalui MYJalan, sebanyak RM113 juta juga disalurkan bagi membaik pulih jalan raya yang rosak dan cerun runtuh akibat banjir," katanya.
Tidak terhenti di situ, beliau berkata MYJalan turut memberi perhatian kepada nasib dan keselamatan penunggang motosikal ketika musim hujan dengan sasaran untuk menyediakan 119 tempat teduhan motosikal di lebuh raya dan sehingga kini, 101 teduhan telah siap dibina.
Selain itu, Alexander berkata usaha membantu kontraktor kecil Bumiputera G1 hingga G4 yang berdaftar dengan CIDB turut dilaksanakan melalui Kerja Undi dan Arahan Kerja bagi memastikan golongan itu terus bersaing secara sihat dalam sektor pembinaan dengan peruntukan sebanyak RM300 juta.
Mengenai aduan pula, Alexander berkata sejak dilancarkan hingga 31 Julai lepas, aplikasi MYJalan yang terus diakses secara meluas telah menerima lebih 17,000 aduan melibatkan bidang kuasa KKR dan agensi kerajaan yang lain.
Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 30.18 peratus atau 5,178 aduan adalah di bawah seliaan KKR dan sebanyak 4,772 aduan telah diselesaikan.
"Melangkah ke hadapan, kementerian mempunyai perancangan yang lebih agresif dalam memastikan objektif pelaksanaan MYJalan ini dapat dicapai dengan fokus utama antaranya, melaksanakan kerjasama erat bersama kementerian dan agensi kerajaan yang lain dalam menangani masalah aduan infrastruktur jalan raya.
"Selain itu, aplikasi aduan ini juga akan diperkemas lagi bagi memberi lebih kemudahan kepada semua pengguna. Saya amat menghargai setiap kritikan dan teguran yang dikongsi oleh semua pengguna aplikasi ini," katanya.
Beliau turut berharap peruntukan tambahan dapat diberikan kepada KKR dalam Belanjawan 2025 bagi memperluas usaha membaiki dan menyenggara kerosakan di semua Jalan Persekutuan seluruh negara menerusi MYJalan, yang kini digerakkan sebagai program utama kementerian.
-- BERNAMA
#KKR #MYJalan #Alexander Nanta Linggi #jalan berlubang