Kempen Melawat Malaysia 2020 dibatalkan
Astro Awani
Mac 18, 2020 20:37 MYT
Mac 18, 2020 20:37 MYT
Kempen Melawat Malaysia (VM2020) dibatalkan susulan penularan wabak COVID-19 yang memberi kesan serta menjejaskan sektor pelancongan negara dan dunia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia berkuatkuasa serta-merta.
Pada masa sama, operasi semua perkhidmatan kaunter dan atas talian di Bahagian Pelesenan Pelancongan serta Pejabat MOTAC Negeri berhubung pelesenan pelancongan turut dibekukan.
"Berhubung dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak COVID-19, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah mengambil ketetapan, pertama , pembatalan Kempen Melawat Malaysia 2020 (VM2020).
"Kedua, pembekuan semua urusan kaunter dan perkhidmatan atas talian bagi Permohonan Baru, Pembaharuan Lesen Pengendalian Pelancongan, Pemandu Pelancong, Institut Latihan Pelancongan dan Pendaftaran Penarafan Premis Penginapan Pelancongan, Spa dan Pusat Urutan Kaki (PUK)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Selaras dengan kenyataan media Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jabatan Perdana Menteri berhubung pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan, kesemua premis penginapan pelancong dibenarkan untuk beroperasi secara minimum.
"Namun, kesemua tetamu premis penginapan pelancong hendaklah berada di dalam bilik penginapan mengikut tempoh kuarantin berkenaan dan tempahan sajian hendaklah dibuat secara room service," ujar beliau.
Proses pendaftaran masuk tetamu ke premis penginapan pelancong bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkenaan bagaimanapun dibenarkan, namun dalam skala yang kecil dan terhad.
"Bagi tetamu premis penginapan pelancong yang terpaksa memanjangkan tempoh penginapan sepanjang perintah ini berkuatkuasa, mereka bolehlah mendaftar masuk ke premis penginapan pelancongan yang bersesuaian dengan bajet masing-masing.
"Walau bagaimanapun, pelancong domestik baharu yang ingin mendaftar masuk ke premis penginapan pelancong adalah tidak dibenarkan," katanya lagi.
Justeru, orang ramai diingatkan agar mematuhi penjarakan sosial sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan itu dan mendapatkan maklumat dari sumber yang sahih.
#COVID19
#keselamatan
#koronavirus
#Malaysia
#Media
#menteri
#Nancy Shukri
#operasi
#pelancong
#pelancongan
#Perdana Menteri
#VM2020