Kempen KNOW diabetes, adakah anda penghidap diabetes?
Haikal Raman
November 17, 2022 21:58 MYT
November 17, 2022 21:58 MYT
PUCHONG: Malaysia menyaksikan populasi diabetes tertinggi di Asia juga antara tertinggi di dunia sehingga memaksa negara membelanjakan sebanyak RM4.4 bilion setiap tahun bagi tujuan rawatan berkaitan penyakit tersebut.
Jumlah yang membimbangkan tersebut merupakan dapatan daripada laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sempena Hari Diabetes Sedunia, Kumpulan Sunway Healthcare (SHG) menganjurkan kempen tahunan, KNOW Diabetes bagi mendidik dan memotivasikan rakyat Malaysia untuk melakukan pencegahan serta mengurus risiko diabetes.
Pengarah Perubatannya, Dr. Low Kwai Siong berkata, prihatin terhadap perkara itu, SHG memainkan peranan dalam mewujudkan kesedaran tentang pencegahan dan rawatan diabetes melalui pameran serta kempen KNOW Diabetes.
“Sebagaimana kita semua tahu, penyakit diabetes boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang yang menyebabkan pesakit memerlukan rawatan dialisis sepanjang hayat.
“Ini merupakan beban kewangan yang sangat berat. Kementerian Kesihatan menjangkakan jumlah pesakit yang memerlukan dialisis akan mencecah sehingga 106,000 orang pada 2040,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di pusat beli-belah Sunway Pyramid di sini baru-baru ini.
Menurut Kwai Siong, kempen dilakukan di pusat beli-belah itu bertujuan melibatkan orang ramai dalam pelbagai aktiviti seperti menjalani ujian glukosa diabetes dan pemeriksaan mata secara percuma, cabaran senaman, menyertai kuiz serta Spin the Wheel.
“Kami juga menjalani beberapa pertandingan di laman sosial untuk menggalakkan orang ramai memuat turun buku panduan KNOW Diabetes yang mengandungi banyak maklumat tentang diabetes dan langkah pencegahannya.
“Dalam pada itu, kami juga menjual stokin yang mempunyai corak sulaman organ-organ yang terjejas disebabkan penyakit diabetes. Semua keuntungan dari hasil jualan stokin akan dihulurkan ke Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia,” ujarnya.
Buku panduan pengurusan diabetes yang terkini dikarang oleh Dr. Alexander Tan dari Sunway Medical Centre Sunway City dan Dr. Lim Kim Piow dari Sunway Medical Centre Velocity KL pada tahun lalu juga bertujuan untuk menggalakkan lagi usaha menyebarkan kesedaran dan pengetahuan mengenai diabetes di Malaysia.
Sila layari www.sunwaymedical.com untuk memuat turun salinan buku tersebut, ia disediakan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, dan Mandarin.