Kempen Kita Demi Negara, pupuk kerjasama erat antara masyarakat dan KDN
Firdaus Azil
Januari 13, 2022 12:53 MYT
Januari 13, 2022 12:53 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal memperkenalkan kempen Kita Demi Negara, yang turut dikenali sebagai KDN sebagai salah satu fokus utamanya untuk tahun ini.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, kempen tersebut mensasarkan penglibatan dan kerjasama yang lebih menyeluruh antara masyarakat dan warga KDN.
Jelas Ahli Parlimen Larut itu lagi, melalui kempen tersebut, segala agenda Keluarga Malaysia dapat diikuti dan dilibatkan dengan seluruh masyarakat.
“Kita nak lahirkan semangat cintakan negara, untuk sama-sama bertanggunjawab menjaga keselamatan negara, menjadikan rakyat sebagai rakan strategik untuk kita sampaikan malumat dan informasi dengan lebih tepat.
“Matlamat kempen kita, pertamanya meningkatkan kesedaran rakyat dalam kenteraman awam, kedua, memupuk semangat patrioktik cinta tanah air, ketiga membina perpaduan untuk Keluarga Malaysia, keempat, menyebar luas peranan KDN, dan agensi dari aspek keselamatan, dan kelima, memupuk kerjasama antara rakyat dan KDN serta agensi demi keselamatan negara,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Menteri Dalam Negeri 2022 di Putrajaya hari ini.
Amanat 2022 | KDN terus fokus pastikan keamanan dalam negara
Sewaktu berucap di majlis tersebut, Hamzah berkata, penglibatan menyeluruh warga KDN dalam usaha menangani pelbagai cabaran, termasuk COVID-19 dan bencana banjir pada 2021 adalah komitmen tidak berbelah kementerian itu kepada negara.
Selain itu, beliau berkata, pencapaian 95.3 peratus petunjuk prestasi utama (KPI), adalah sesuatu yang boleh dibanggakan warga KDN.
Kejayaan yang dicapai pada 2021, katanya lagi, harus dijadikan pembakar semangat untuk warga kementerian lebih berusaha pada tahun ini.
Antara kejayaan yang dicapai warga KDN, kata Hamzah, penurunan kes jenayah sebanyak 23 peratus, peningkatan pematuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang, serta sifar kes penculikan di Sabah.
Selain itu, Hamzah berkata, lebih 6,000 banduan telah diberi pelepasan parol dengan 64 peratus daripada mereka telah mengikuti program latihan pintar korporat (CSI) dalam sektor perkhidmatan, pembuatan, dan peladangan.
Turut membanggakan, katanya lagi, kejayaan 'menghijaukan' 16 kawasan berisiko tinggi dari jenayah melibatkan dadah.
Bergerak ke hadapan, Hamzah berkata, KDN komited menjadikan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai tunjang perancangan kementerian, terutamanya dalam fokus keselamatan dalam negara.