Kempen INTEGRITI perlu penjenamaan semula

Azyyati Ahmad
Ogos 22, 2016 15:55 MYT
Antara iklan INTEGRITI yang pernah dihasilkan sebelum ini ialah Iklan animasi Anti-Rasuah Pak Abu dan Iklan animasi Upin Ipin: Rezeki Halal. -
Penjenamaan semula kempen integriti dalam Pelan Integriti Nasional harus dilakukan dalam usaha Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) mendekati anak muda.
Cadangan itu dicetuskan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mu'amar Ghadafi Jamal memandangkan isu integriti kurang dicakna anak-anak muda masa kini.
Beliau berkata, penjenamaan yang menarik dan selari dengan jiwa anak muda dilihat mampu menjadi ikutan golongan tersebut seperti kempen-kempen yang pernah dilakukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini.
"Jika kita bandingkan dengan kempen-kempen yang lain seperti #FitMalaysia dan kempen 'Tak Nak Merokok', kedua-duanya mempunyai jenama yang cukup dekat dengan anak muda.
“Sebab itu saya cadangkan agar INTEGRITI memikirkan satu idea atau jenama bagi membawa isu ini ke jiwa anak muda," kataya.
Menurut beliau, masalah utama mengapa isu integriti kurang menjadi perbincangan anak muda juga adalah kerana ia dilihat sebagai satu topik yang tidak menarik.
"Kekangan paling besar mengapa topik ini kurang mendapat sambutan adalah kerana ia tidak popular atau tidak seksi di mata anak muda.
“Kalau #FitMalaysia, mereka boleh kaitkan diri sendiri dalam kempen itu seperti ingin menjadi sihat dan sebagainya, tetapi integriti bagaimana? Jadi sesuatu perlu dilakukan,”jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas program 'Breakfast Talk' anjuran Institut Integriti Malaysia yang membincangkan tajuk "Integriti Belia : Peranan Dan Cabaran Dalam Merealisasikan Hala Tuju Agenda Pelan Integriti Nasional" pada Isnin.
Turut menjadi panel dalam perbincangan tersebut adalah Felo Perdana Menteri Belia dan Sukan, Norshafiqah Zairina S Zamzaini dan Ahli Parlimen Belia Malaysia, Norzulaiqha Zulkifli.
Antara iklan INTEGRITI yang pernah dihasilkan sebelum ini ialah Iklan animasi Anti-Rasuah Pak Abu dan Iklan animasi Upin Ipin: Rezeki Halal.
#integriti #majlis belia malaysia #Mu'amar Ghadafi Jamal
;