Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran sedarkan rakyat bahaya pembaziran makanan

Fareez Azman
Mac 30, 2023 21:42 MYT
Bazar Ramadan adalah antara lokasi tumpuan kempen tersebut di mana pembaziran makanan lazimnya berlaku saban tahun. - FB SWCorp Malaysia
PUTRAJAYA: Memberi kesedaran mengenai keburukan pembaziran makanan yang mengundang kepada pencemaran alam sekitar, menjadi matlamat Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Mokhtar, Bazar Ramadan adalah antara lokasi tumpuan bagi kempen anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) itu, memandangkan pembaziran makanan lazimnya berlaku di situ saban tahun.
"Kita berkempen dengan penjaja dan pengunjung untuk kita menghargai makanan, elakkan pembaziran, selain mengelakkan penggunaan plastik pakai buang.
"Hari ini kita bagi plastik kitar semula... dia (pengguna) boleh bawa, kalau nak datang setiap hari pun boleh bawa," jelasnya.
Tambahnya, sekiranya sisa makanan terlalu banyak, sisa tersebut terpaksa dibuang ke pusat pelupusan sampah.
Lebih membimbangkan, jelasnya, sisa makanan yang terlalu banyak boleh membawa kepada pencemaran alam sekitar.
"Maka, ini kempen yang berterusan di semua negeri yang kita uruskan sisa makanan dan sisa pepejal. Tujuan kita adalah untuk pastikan bahawa kawasan bazar Ramadan tidak ada pembaziran berlaku," ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya pada Khamis.
Terdahulu, pengguna di bazar berkenaan turut diberikan beg kitar semula serta bubur lambuk oleh SWCorp.
Agenda AWANI: Sisa makanan meningkat, elak pembaziran
#Bazar Ramadan #SWCorp Malaysia #kempen #Hargai Makanan
;