Kempen derma untuk suami arwah Ustazah Zaleha cedera dalam kemalangan di Singapura

Bernama
Julai 4, 2024 17:10 MYT
Semua dana yang dikumpulkan akan diuruskan oleh Give.Asia dan dibayar terus kepada hospital. - Gambar/ Bernama
SINGAPURA: Sepasang warga emas Malaysia yang dalam perjalanan mingguan ke Singapura terlibat dalam kemalangan pada 1 Jun selepas Aziz Sharif, 76, diserang strok ketika memandu, menyebabkan kereta mereka terbabas dan melanggar laluan berbumbung di Yishun.
Isterinya, Zaleha Maksum, 74, yang mengajar al-Quran Braille setiap Sabtu di sebuah pusat Islam di republik itu, meninggal dunia dalam insiden itu manakala Aziz masih dirawat di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), selepas 17 hari berada di unit rawatan rapi (ICU).
Bercakap kepada Bernama, tiga anak pasangan itu - dua di Singapura dan seorang di Putrajaya - berkata strok yang dialami bapa mereka mengakibatkan kecederaan otak yang teruk selain patah tulang rusuk dan pendarahan dalaman akibat kemalangan berkenaan.
Anak kedua pasangan itu, Mohammad Nizam berkata sebagai warga asing, kos rawatan ICU dan penjagaan jangka panjang Aziz menelan belanja hampir S$100,000 setakat ini.
Katanya, akibat menghadapi kekangan kewangan yang semakin meruncing, keluarga itu baru-baru ini memuat naik permohonan derma di platform Give.Asia, berharap dapat mengumpul sumbangan orang ramai untuk menampung bil perubatan.
Semua dana yang dikumpulkan akan diuruskan oleh Give.Asia dan dibayar terus kepada hospital.
Sehingga 9.30 pagi Khamis, mereka telah mengumpul S$35,024 melalui platform itu.
"Kami adik-beradik melakukan segala yang termampu untuk menampung keperluan perubatan ayah. Kami cuba mengimbangi tanggungjawab dan komitmen kami dengan keperluan mendesak untuk menampung perbelanjaan ini. Namun, di sebalik usaha terbaik, kami masih berdepan kesukaran untuk menguruskan kos yang semakin meningkat," katanya.
Anak bongsu, Mohammad Hanif berharap orang ramai dapat memahami kesulitan yang dihadapi keluarga mereka yang tertekan dengan situasi itu.
"Kami tidak menjangka perkara ini akan berlaku, ia memang tidak diduga. Kami merancang untuk membawa ayah pulang ke Malaysia dan memindahkannya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru apabila keadaannya lebih stabil," katanya, sambil menambah bahawa buat masa ini, doktor menasihatkan Aziz untuk kekal di Singapura.
Namun, tanpa keluarga terdekat di Johor, keputusan untuk memindahkan Aziz ke HSA juga menimbulkan kebimbangan lain bagi keluarga itu.
"Ada ahli keluarga yang boleh melawat tetapi tidak sekerap di Singapura. Beliau masih tidak boleh membuka mata atau bercakap, masih terbaring...jadi, buat masa ini, keluarga mengikuti nasihat hospital.
"Walaupun kos meningkat, kami tiada pilihan selain mencari cara untuk memastikan rawatan diteruskan," kata anak sulung, Mohammad Rashid.
Walaupun masih bersedih dengan kehilangan ibu mereka, keluarga itu berharap orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan arwah dan kesembuhan cepat bagi ayah mereka.
Dikenali sebagai Ustazah Zaleha oleh para pelajarnya, bekas guru pengajian Islam di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth di Johor Bahru itu juga merupakan ahli aktif komuniti di Taman Daya, Johor Bahru tempat pasangan itu tinggal.
"Arwah mak saya memang aktif. Dia mula mengajar di Jamiyah selepas pencen. Jadi memang menjadi rutin untuk mereka masuk Singapura setiap Sabtu, selain untuk melawat anak dan cucu di sini. Semasa majlis pengebumian, ramai yang datang melawat, terkejut dan bersedih dengan berita ini.
"Pagi itu, kami sempat bersarapan bersama sebelum dia pergi mengajar. Jadi memang tak sangka itu merupakan sarapan terakhir," kata Mohammad Hanif, sambil menambah bahawa mereka mendapat tahu tentang kejadian itu daripada seorang rakan yang mengenali kereta pasangan berkenaan yang dimuat naik di media sosial.
Derma dan kemas kini tentang keadaan Aziz boleh didapati di https://give.asia/s/hvx8o.
-- BERNAMA
#Ustazah Zaleha #kemalangan di singapura #kempen derma #cara derma
;