Kempen #BenderaPutih: Jangan salah guna - Faizal Azumu
Abd Razak Mohd Ali
Julai 3, 2021 20:06 MYT
Julai 3, 2021 20:06 MYT
TAMBUN: Orang ramai dinasihatkan tidak menyalahgunakan atau mengambil kesempatan di atas usaha pemberian bantuan termasuk kempen #BenderaPutih.
Perbuatan sedemikian yang bertujuan mengaut sebanyak mungkin bantuan untuk diri sendiri dikhuatiri akan menyebabkan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan tidak sampai, kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau berkata, mereka perlu jujur dan memastikan diri benar-benar memerlukan, sebelum mengeluarkan sebarang bentuk simbol meminta bantuan.
"Terdapat juga pihak yang kadang-kadang menyalahgunakan usaha yang dibuat oleh pelbagai pihak. (Sebagai contoh) ada yang bagi mesej kepada saya, kemudian hantar pula mesej kepada Adun, kemudian hantar pula kepada ketua bahagian parti untuk mendapatkan bantuan.
"Kesudahannya, berkampit-kampit beras di rumah (dihantar) dan mereka yang lebih memerlukan tak dapat kerana kita terpaksa memberi kepada mereka yang memohon.
"Jadi ini perkara yang saya harap... walaupun kita perlu tetapi biarlah kita ingatkan juga kalau kita susah, ada orang lain yang lebih susah," katanya.
Beliau ditemui ketika menyampaikan bantuan kotak makanan di Pusat Khidmat Parlimen Tambun, pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, pihaknya akan menziarahi individu yang mengibar bendera putih dan memberi bantuan sekiranya mereka benar-benar memerlukannya.
Dalam pada itu, menurutnya tambahan dana bakul makanan RM300,000 untuk setiap Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik seperti yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, dapat membantu lebih ramai golongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Dalam situasi negara berhadapan pandemik yang mengakibatkan ramai rakyat terjejas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Isnin lalu.
Antara lain, kerajaan akan memberi Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 termasuk golongan bujang bermula Ogos, yang memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.
Selain itu, peruntukan sebanyak RM300,000 juga disalurkan kepada semua Ahli Parlimen, termasuk wakil rakyat pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan untuk rakyat terjejas akibat COVID-19.
Turut diumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi tujuan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.
#Bendera putih
#bantuan
#jangan salah guna
#ambil kesempatan
#Faizal Azumu
#ahli parlime tambun
#PEMULIH