Kempen Beli Barangan Malaysia sasar RM100 bilion nilai jualan hingga Disember - Alexander
Fareez Azman
Ogos 22, 2020 14:47 MYT
Ogos 22, 2020 14:47 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan penjualan sebanyak RM100 bilion dalam Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia sehingga hujung tahun ini.
Menurut Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, sasaran itu bersandarkan sektor peruncitan yang semakin pulih selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.
"Objektif kita merancakkan ekonomi dalam sektor peruncitan, ini penting sebab ekonomi negara kita ini bergantung kepada prestasi sektor tempatan dan peruncitan adalah sebahagian besar daripada sub-sektor ini.
"Kempen Beli Barangan Malaysia sudah satu bulan kita lancarkan, KPDNHEP sentiasa memantau dan sasaran nilai jualan kita adalah RM100 bilion, jadi kempen ini sehingga hujung tahun ini," katanya.
Jelasnya, Alexander, kempen itu akan diteruskan di seluruh negara bagi merancakkan lagi ekonomi tempatan.
Untuk rekod, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Prestasi Suku Pertama Tahun 2020 melaporkan sektor peruncitan mengalami penurunan ketara.
Pada suku pertama tahun 2020 sektor itu mencatatkan RM28.3 bilion berbanding RM32.4 bilion pada suku keempat tahun 2019 dengan penurunan sebanyak 13 peratus bersamaan RM 4.16 bilion.
#Alexander Nanta Linggi
#Bank Negara Malaysia
#ekonomi
#KPDNHEP
#Nilai jualan
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#PKPP