Kempen Beli Barangan Malaysia platform penghasilan produk bermutu tinggi - PPIPBM

Astro Awani
Julai 19, 2020 10:41 MYT
AZMAN: PPIPBM amat bersetuju dengan pelaksanaan kempen berkenaan yang dilancarkan kerajaan semalam malah kempen ini akan dapat memulihkan segera ekonomi negara. -kcjengineering.my
Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang dilaksanakan kerajaan mampu membuka peluang kepada pengilang tempatan untuk menghasilkan produk bermutu tinggi.
Presiden Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) Datuk Azman Yusoff berkata langkah itu juga dilihat dapat menggalakkan lagi pengilang-pengilang Bumiputera untuk meningkatkan produktiviti masing-masing.
Katanya, usaha tersebut seiring dengan langkah kerajaan mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera sekali gus memulihkan ekonomi negara.
"PPIPBM amat bersetuju dengan pelaksanaan kempen berkenaan yang dilancarkan kerajaan semalam malah kempen ini akan dapat memulihkan segera ekonomi negara.
"Secara tidak langsung, pengilang Bumiputera akan mendapat manfaat dengan saranan kerajaan untuk mengutamakan produk tempatan berbanding produk yang diimport dari luar.
"Sehubungan itu, pengilang dan pengusaha Bumiputera mestilah mengeluarkan produk bermutu tinggi dengan pembungkusan yang menarik bagi menarik pengguna serta setanding dengan produk import," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Azman berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat perniagaan juga dinasihatkan untuk memberi ruang pasaran yang lebih luas kepada pengilang tempatan terutama di pasar raya besar dan bertaraf lima bintang.
"Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna (KPDNHEP) harus diberi pujian atas kesungguhan mempromosikan barang keluaran tempatan dan usaha murni ini harus diteruskan ke semua pelosok negeri secara berterusan.
"Kerajaan tempatan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) dimohon supaya permudahkan urusan usahawan Bumiputera kerana ada sebahagian pengilang tertekan dengan kos pengurusan semasa COVID-19," katanya.
Beliau menambah, inisiatif kerajaan harus disambut baik semua masyarakat Malaysia.
"Saya percaya jika semua rakyat bersatu hari ini, ekonomi kita akan segera pulih dalam masa terdekat kerana sokongan terhadap produk terpatan yang terbukti bemutu tinggi," ujarnya.
#Azman Yusoff #Beli Barangan Buatan Malaysia #Bumiputera #GLC #koronavirus #Majlis Kemakmuran Bumiputera #syarikat berkaitan kerajaan #usahawan
;