Kempen beli barangan Malaysia ditambah baik - Nanta

Bernama
September 8, 2020 19:32 MYT
Nanta Linggi berkata Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) akan terus ditambah baik sejajar dengan keperluan untuk merancakkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas. - Gambar fail/Astro AWANI
Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) akan terus ditambah baik sejajar dengan keperluan untuk merancakkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata ini termasuk menjalin kerjasama dengan syarikat besar untuk menyokong kempen itu dan menjadi platform dalam mengetengahkan produk PKS.
Katanya KBBM yang dianjurkan setiap tahun berjaya membantu PKS, namun kementerian sentiasa berbincang dan mengamalkan dasar pintu terbuka dengan pemain industri untuk mendapatkan pandangan bagi memastikan KBBM berjaya.
"Kementerian tidak berhasrat untuk menukar (konsep) KBBM, sebaliknya kita menambah baik (kempen itu) termasuk menjalin kerjasama dengan syarikat besar dan syarikat dari luar negara yang bertapak di negara ini.
Mengenai Kempen Love Local, Nanta berkata Petronas Dagangan Berhad akan mewujudkan lebih banyak titik bahan penjualan (POSM) dan rak khas untuk KBBM Corner bagi mempromosikan barangan tempatan di setiap stesen minyak dan Kedai Mesra Petronas.
Hasil kerjasama dengan Petronas pada tahun lepas, nilai jualan yang dicatatkan oleh pembekal PKS adalah berjumlah RM29,690,577.44 berbanding RM20,550,191.33 dalam tempoh sama pada 2018.
"Promosi KBBM pada tahun ini menerusi Kempen Love Local akan dipertingkat dan disebarluaskan di seluruh 801 stesen minyak dan Kedai Mesra meliputi 698 stesen di seluruh negara," katanya.
-- BERNAMA
#Datuk Alexander Nanta Linggi #KBBM #Kempen Beli Barangan Malaysia #koronavirus #minyak #pandemik #Petronas #PKS
;