Kempen antimerokok DBKU diperkasakan

Bernama
Februari 21, 2017 13:51 MYT
Taman Budaya, Kuching telah diisytiharkan sebagai zon bebas asap rokok. - Gambar hiasan
Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan menggunakan sepenuhnya saluran komunikasi termasuk media sosial, papan iklan, poster, risalah serta papan iklan elektronik bagi meningkatkan kesedaran orang awam terhadap bahaya merokok.
Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Wahap Abang Julai berkata langkah tersebut sempena kempen antimerokok yang sedang dijalankan termasuk mewujudkan lebih banyak kawasan tanpa rokok di kawasan awam.
"Kami akan bekerjasama dengan jabatan kesihatan dan agensi berkaitan dalam menguatkuasakan perintah larangan merokok di kawasan yang telah diwartakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita hari ini selepas melawat Taman Budaya di sini yang telah diisytiharkan sebagai zon bebas asap rokok.
Menurutnya, mulai 1 Januari lepas, semua premis perniagaan di bawah DBKU diisytiharkan sebagai zon bebas asap rokok.
Di bawah pelan lima tahun 'Kuching: Bandar Raya Bersih, Indah dan Selamat', katanya, pihaknya turut mengadakan kempen di sekolah-sekolah dalam usaha melahirkan generasi baharu yang bebas tembakau.
-- BERNAMA
#antimerokok #DBKU #kempen kesedaran #larangan merokok #media sosial
;