Kemerosotan air empangan di Melaka akibat purata hujan rendah

Bernama
September 14, 2019 23:29 MYT
Rakyat negeri itu diharap tidak panik dan menggunakan air secara berhemah sementara SAMB berusaha menstabilkan semua kolam dan empangan yang terjejas. - BERNAMA
Kemerosotan air di empangan, kolam tadahan dan Sungai Melaka akibat purata hujan yang rendah telah memberi gangguan pada tekanan air di beberapa kawasan di negeri ini, kata Ketua Menteri Adly Zahari.
Beliau berkata berdasarkan rekod terkini Empangan Durian Tunggal mencatatkan kapasiti air berjumlah 7,270 juta liter dan Empangan Jus (19,975 juta liter air) sementara penggunaan air di negeri Melaka adalah sekitar 600 juta sehari.
"Disebabkan paras air Sungai Melaka yang rendah dan keadaan cuaca panas serta tiada hujan di negeri ini, hanya 550 juta liter air dapat dibekalkan.
Bagaimana pun Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sedang dan terus berusaha untuk mendapatkan bantuan sumber air terutamanya dari Johor dan selain turut menjalankan proses memindahkan air mentah dari Empangan Ayer Keroh, Lombong Kesang Pajak di Jasin, Kolam Tebat Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (Durian Tunggal), Loji Air Gadek (Alor Gajah) dan Kolam Takungan Gangsa (Durian Tunggal) sebagai alternatif penyelesaian gangguan bekalan air," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata kawasan yang terjejas juga akan mendapat bekalan air yang disalurkan melalui lori tangki SAMB serta lori tangki tambahan dari Ranhill SAJ (Johor), Syarikat Air Selangor, dan Lembaga Air Perak melibatkan keseluruhan 16 lori tangki air.
Katanya justeru rakyat negeri itu diharap tidak panik dan menggunakan air secara berhemah sementara SAMB berusaha menstabilkan semua kolam dan empangan yang terjejas bagi memastikan bekalan air sampai ke setiap premis.
-- BERNAMA
#Adly Zahari #Alor Gajah #empangan #Ketua Menteri #rakyat #Sungai Melaka
;