Kemeriahan sambutan Aidilfitri: Antara tuntutan agama dan budaya

Mohsein Shariff
Julai 2, 2019 22:00 MYT
Beraneka juadah dihidangkan demi memastikan para tetamu yang hadir berpuas hati dan dapat mengisi perut sebelum ke acara rumah terbuka seterusnya. - Gambar hiasan
DALAM kemeriahan sambutan Aidilfitri tanpa disedari kita telah berada di penghujung Syawal. Saban hari sepanjang Syawal, tidak pernah lekang dengan kemeriahan sambutan hari lebaran walaupun hakikat sebenar Aidilfitri hanyalah pada 1 Syawal 1440H. Namun kerana budaya perayaan Aidilfitri di Malaysia, sambutan Syawal masih berterusan. Maka terjadilah kesesakan dan kesibukan pada setiap hujung minggu Syawal akibat undangan hari terbuka yang masih diterima hinggakan ada yang terpaksa ditolak dek kerana masa yang terbatas.
Budaya meraikan aidilfitri ini walaupun di satu perspektif mengambarkan kemeriahan dan keseronokan berhari raya berpanjangan sehingga ada saja pelbagai tanda pagar kreatif digunakan seperti #rayasakan #rayakansebulan dan #teamrayaKL. Pun begitu sekiranya budaya berhari raya berpanjangan tanpa kesudahan ini tidak ditangani secara berhikmah maka akan wujud persepsi dan pandangan buruk terhadap kita yang merayakannya. Yang jelas sambutan perayaan Aidilfitri harus ada pemisah di antara tuntutan perayaan dari segi agama dan juga budaya.
Aidilfitri merupakan hari kemenangan dan kegembiraan dalam pembersihan jiwa yang dikurniakan Allah kepada hambaNya kerana dapat menempuh ujian sebulan berpuasa serta berjaya melaksanakan ibadah-ibadah yang lain secara istiqamah di bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda "Orang-orang Jahiliyyah memiliki dua hari yang digunakan untuk merayakan hari rayanya, Sesungguhnya Allah SWT menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha,” - Riwayat Abu Daud dan al-Nasai. Pada kedua-dua hari besar tersebut, umat Islam dituntut untuk merayakan mengikut Sunnah Rasulullah dengan bersederhana dalam berhari raya dengan penuh pengharapan, moga-moga ibadah yang telah dilaksanakan diterima Allah SWT.
Kita juga disarankan selain bertakbir di hari raya turut mengucapkan ‘taqabbalallahu minna wa minkum’ kepada sesama rakan muslim dan muslimat sebagai satu doa semoga Alah SWT menerima amalan dan ibadah kita semua. Sekiranya diperhalusi, pensyariatan perayaan Aidilfitri dan Aidiladha dalam Islam ini berlaku selepas pelaksanaan ibadah-ibadah besar dalam Rukun Islam. Maka perayaan dalam Islam bukan sekadar hari yang diwarnai dengan kegembiraan dan beraneka juadah semata-mata malah bermatlamat menuntut umat Islam kembali kepada Allah SWT dalam setiap urusan kehidupan duniawi.
Dalam budaya Melayu pula sangat menitik berat menyantuni tetamu tatkala menjadi hos rumah terbuka hari raya. Beraneka juadah dihidangkan demi memastikan para tetamu yang hadir berpuas hati dan dapat mengisi perut sebelum ke acara rumah terbuka seterusnya. Kepada anak-anak kecil pula, hari raya sangat istimewa kerana bakal dihujani dengan pelbagai bentuk dan warna sampul raya yang berisi duit raya. Inilah suasana berhari raya disamping turut mengeratkan tali persaudaraan sanak saudara dan sahabat handai. Lebih menarik ada di antara keluarga yang berkongsi menganjurkan sambutan hari terbuka Aidilfitri secara bersama agar kemeriahan dan keseronokan penganjuran dikongsi dan lebih ramai tetamu dapat dirai. Begitulah keindahan dan suasana budaya berhari raya yang harus diteruskan tanpa melangkaui batas pergaulan dan tidak menyambutnya secara berlebihan. Allah SWT amat melarang hambaNya dari berlebih-lebihan dalam segala hal kerana berlebihan boleh membawa kepada begitu banyak pembaziran dalam segala aspek.
Firman Allah Taala dalam Surah Al-A’raf 7:31 mahfumnya,“Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” Di atas penegasan tersebut marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri di pengakhiran Syawal ini untuk melihat kembali sejauh mana kita tunduk kepada Pencipta dan terus patuh pada suruhan-Nya serta meninggalkan larangan-Nya.
Umat Islam Melayu di Malaysia perlu peka dan lebih berhikmah dalam sambutan hari raya di masa akan datang agar kita tidak dikenali sebagai umat yang gemar menghabiskan masa dengan sambutan berpanjangan hingga lupa keutamaan terhadap tanggungjawab dan pekerjaan. Untuk menjadi umat yang berjaya dalam bisnes mahupun kerjaya, segeralah kembali melazimi gerak kerja seharian sebelum syawal sebagaimana kita telah berjaya memfokuskan seluruh jiwa raga sepanjang Ramadhan dalam melaksanakan ibadah. Dengan kembali fokus kepada kehidupan, kita akan lebih menghargai nikmat yang telah dikurniakan.
Rasulullah bersabda ”Hendaklah kalian makan dan minum dan bersedekah tanpa berlebihan serta sombong. Sesungguhnya Allah menyukai melihat nikmatNya pada hambaNya yang diberi nikmat”. [HR al-Hakim]
Salam Akhir Syawal.

* Mohsein Shariff adalah Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI

#agama #Aidiladha #Aidilfitri #budaya #duit raya #hari lebaran #hari raya #hos #Islam #keluarga #Melayu #pembersihan jiwa #Ramadan #rumah #sambutan #sampul raya #sanak saudara #syawal
;