Kemerdekaan itu bukan untuk seronok, kata Pak Wan
Amira Suraini Che Mohamad
Ogos 31, 2018 14:43 MYT
Ogos 31, 2018 14:43 MYT
Hakikatnya generasi yang menempuh keperitan hidup sebelum kemerdekaan, semakin berkurangan.
Apatah lagi mereka yang pernah memperjuangkan kemerdekaan tanah air dari cengkaman penjajahan kolonial.
Dari sebuah Kampung Bawah Bukit di Mata Ayer, Perlis ini, Astro AWANI bawakan sebuah kisah menarik yang perlu kita jadikan iktibar.
Ia berkisar kisah Pak Wan yang pernah jadi tahanan dan buangan British, semata-mata mahu membebaskan tanah airnya dari cengkaman penjajah.
Hari ini, Pak Wan atau nama sebenarnya Wan Khazim Wan Din, 94 tahun, merupakan satu-satunya bekas pejuang kemerdekaan yang masih hidup di negeri itu.
Meskipun saat ditemui, Pak Wan dilihat agar sukar untuk bergerak atau bangkit dari tempat perbaringannya kerana dibatasi masalah kesihatan, namun bekas pejuang itu tetap bersemangat apabila diminta berkongsi cebisan kisah silamnya.
Menurut Pak Wan, selepas lima tahun berpisah dengan bapa yang menjadi tahanan British, beliau berhijrah ke Singapura untuk mengikuti pelajaran di Reemin English School.
Begitupun, Pak Wan tidak lama tinggal di sana lantaran teringatkan perjuangan bapanya.
Demi menuntut kemerdekaan, hati Pak Wan nekad untuk kembali semula ke Tanah Melayu dan berjuang dalam barisan Angkatan Pemuda Insaf (API).
Mengimbau kembali sepanjang detik itu, Pak Wan turut menjadi saksi kekejaman Komunis yang menyembelih orang Melayu yang tidak menyokong Parti Komunis Malaya, selepas Komunis keluar dari hutan sekitar tahun 1945.
Kata Pak Wan, pengalaman ketika dijajah British, Jepun dan Siam di Kuala Perlis, suatu ketika dahulu, begitu memeritkan.
“Pagi-pagi lagi Jepun paksa semua budak-budak berdiri menghadap matahari terbit. Semua kena tunduk kepada matahari.
“Semua kena tunduk kepada matahari naik, 'sembah' tuhan Jepun, sambil bendera dinaikkan. Padang sekolah semua kena tanam ubi kayu,” katanya sambil mengimbau rutin hidup ketika diajah Jepun.
Erti merdeka
Dengan pengalaman luar biasa yang tidak semua orang dapat merasai atau sanggup menanggung, Pak Wan mengakui pernah terpalit rasa kesal apabila melihat tahap pemahaman generasi masa kini tentang erti kemerdekaan.
Menurut lelaki yang kini fizikalnya tersisa kudrat hampir sekurun usia itu, generasi muda hari ini tidak begitu mengetahui sejarah kesusahan dan keperitan yang terpaksa dilalui pejuang negara ketika menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.
Termasuklah dirinya, yang mempertaruhkan nyawa sendiri demi mendapatkan hak tanah air, meskipun dalam situasi berjauhan dari keluarga.
“Yang paling kecewa sekali, sekarang ini tidak dimasukkan erti semangat kemerdekaan kepada anak-anak muda. Anak kita tidak tahu (erti) merdeka.
"Depa tahu orang bagi bendera dan depa kibar, apa dia 'merdeka' tu, depa tak tahu! Bagi depa, merdeka tu seronok, askar berkawad. Jadi tidak ada pengisian kemerdekaan itu kepada anak anak muda.
“Itu yang paling saya kesal sebab depa akan jadi waris yang memerintah negara kita ni. Sepatutnya mereka kena tahu ini semua,” katanya berbaur nada kecewa.
Kata Pak Wan, laungan - 'Merdeka!' sebanyak tujuh kali pada tahun 1957, adalah yang paling bermakna dan bernilai kerana setiap orang melaungkannya dengan penuh kegembiraan, kepuasan dan keyakinan berbeza dengan sekarang.
Di akhir luahan hatinya, Pak Wan akur dirinya kini di ambang penghujung usia.
Melihat dari anak matanya yang berkaca-kaca, dan kedut wajah yang berlingkar 1,001 kisah yang belum dapat dikongsi sepenuhnya, Pak Wan sempat meninggalkan satu 'hadiah' untuk dihadam bersama.
Khas untuk kita semua rakyat Malaysia, Pak Wan meninggalkan serangkap pantun untuk kita kenang dan cari maksudnya:
Tanam serumpun si pohon kapas,
Mari ditanam di Kampung Bintong,
Orang Merdeka semuanya bebas,
Tetapi kita masih terkongkong.