Kemerdekaan bukan sahaja bebas dari dijajah, anak muda juga perlu bebas dadah - Pesara polis

Vivi Sumanti
Ogos 31, 2022 12:57 MYT
Yahya yang pernah menjadi Ketua Polis Daerah di Kelantan suatu ketika dahulu menerima dua pingat, Ahli Mangku Negara (AMK) dan Pingat Ahli Setia Kelantan (ASK) sepanjang berkhidmat dalam PDRM. - Foto Astro AWANI
KOTA BHARU: Erti kemerdekaan yang diraikan pada 31 Ogos setiap tahun bukan sahaja bermakna mengingati negara mencapai kemerdekaan daripada penjajah, sebaliknya ia juga seharusnya mengingatkan kita perlunya perjuangan berterusan membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan anak muda.
Bagi bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Yahya Salleh, perjuangan membebaskan anak muda bangsa dari najis dadah juga merupakan satu perjuangan untuk bangsa dan negara.
Dadah katanya merupakan musuh negara yang merosakkan masa depan anak bangsa, tanpa dadah, anak bangsa akan kuat dan dapat menbela negara dari dijajah oleh anasir buruk sekali gus membantu menuju sebuah negara aman, rakyat sejahtera dan cemerlang.
Yahya yang pernah mengetuai jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Terengganu selama empat tahun berkongsi pengalaman bagaimana getirnya usaha memerangi penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Berkongsi pengalaman, Yahya berkata sepanjang mengepalai jabatan berkenaan, pernah dirinya dilibas dengan pedang Samurai oleh penagih dadah dalam satu serbuan yang dilakukan.
"Jawatan pertama saya pegang selepas ditukarkan dari cawangan teknikal sebagai pegawai Turus Siasatan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Terengganu selama empat tahun.
"Semasa saya bertugas dalam jabatan itu, saya telah banyak menempuh pengalaman dalam hal-hal menangani dadah di Terengganu.
"Pada waktu itu memang pelbagai cabaran dan pengalaman, namun apa yang saya laksanakan demi amanah yang saya pikul iaitu membanteras penyalahgunaan dadah dalam masyarakat kita," katanya ketika ditemui di program Ambang Merdeka Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini malam tadi.
"Tugas saya adalah pegawai operasi dan siasatan jadi saya akan mengepalai operasi besar. Yang kita rancang selain tangkapan harian berkaitan dadah serta memastikan dalam kawasan itu dapat tangani masalah dadah.
"Tiap-tiap bulan saya buat operasi besar di tiap-tiap daerah selain operasi setiap hari," tambahnya.
Yahya berkata pernah dalam satu operasi menggempur sarang dadah, kumpulannya ditentang oleh sekumpulan penagih dadah yang menggunakan senjata tajam termasuk pedang.
"Memang ada ketika sekiranya bila buat serbuan kita mesti membuat kajian atau penelitian ke atas sesuatu kawasan.
"Pernah saya masuk satu kawasan tempat bersembunyi, bila masuk rupanya penagih bertindak balas, dengan disambut dengan pedang Samurai, berlaku pergelutan dengan ada anggota yang cedera, ada penagih yang cedera ketika bergelut.
"Namun pihak kami berjaya menangkap penagih dadah dan membawa mereka untuk mendapatkan rawatan" jelasnya.
BACA KANDUNGAN EKSKLUSIF ASTRO AWANI SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 2022, DI SINI
Yahya yang pernah menjadi Ketua Polis Daerah di Kelantan suatu ketika dahulu menerima dua pingat, Ahli Mangku Negara (AMK) dan Pingat Ahli Setia Kelantan (ASK) sepanjang berkhidmat dalam PDRM.
Terdahulu Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dalam ucapannya sempena sambutan Ambang Merdeka Kontinjen Polis Kelantan mengajak masyarakat bersama dalam usaha membanteras jenayah di Kelantan.
Katanya konsep Keluarga Malaysia Teguh Bersama yang menjadi tema hari Kebangsaan tahun ini boleh dijadikan semangat untuk mengukuhkan lagi hubungan dalam kalangan warga PDRM dan juga masyarakat.
Sambutan Ambang Merdeka kontinjen Polis Kelantan diraikan dengan pelbagai acara antaranya nyanyian lagu patriotik oleh warga PDRM, deklamasi sajak dan sebagainya.
#Hari Kebangsaan 2022 #pesara polis #Yahya Salleh #bebas dari dadah
;