Kementerian Wilayah Persekutuan akan fokus kepada pertumbuhan mampan

Bernama
November 11, 2018 04:57 MYT
Khalid menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-100 Hari Peringatan di Labuan pada Ahad, 11 Nov, 2018, di mana waris pahlawan Perang Dunia I yang terkorban meletakkan karangan bunga di Peringatan Perang Labuan. --fotoBERNAMA
Mulai tahun depan, Kementerian Wilayah Persekutuan akan memberi fokus terhadap pertumbuhan mampan semua projek pembangunan yang dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Menterinya Khalid Abdul Samad berkata adalah penting semua projek yang dilaksanakan di wilayah persekutuan bersifat seimbang dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
"Kami ingin melihat semua program pembangunan mewujudkan pertumbuhan mampan serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
"Kami perlu berkeupayaan untuk menangani kenaikan kos sara hidup, menyelesaikan isu perumahan, pengangkutan awam dan kebersihan serta memberi perhatian terhadap dasar yang mempunyai kesan terhadap rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-100 Hari Peringatan di sini pada Ahad.
Menurut beliau, bagi Labuan, isu cadangan pembinaan jambatan Labuan-Menumbok dan perkhidmatan feri akan terus dibincang bagi mencari penyelesaian yang lebih baik.
Khalid berkata isu bangunan Hotel Labuan dan Billion Hotel Resort bertaraf empat bintang yang terbiar di pusat bandar dan mencacatkan pemandangan di pulau ini juga, akan ditangani.
"Bangunan itu dianggap sebagai gajah putih yang memberi kesan tidak baik kepada pelancongan dan ketibaan pelancong," katanya.
Beliau juga berkata, bagi menambah baik ekonomi dan kesejahteraan rakyat di pulau ini, industri berkaitan perikanan dan sekltor pelancongan akan terus dimajukan agar menjadi pemacu utama kemajuan sosioekonomi.
-- BERNAMA
#Gajah Putih #Hari Peringatan #Hotel Labuan #Kementerian Wilayah Persekutuan #Khalid Abdul Samad #Kuala Lumpur #Labuan #pelancongan #pertumbuhan mampan #Putrajaya #Wilayah Persekutuan
;