Kementerian usul suruhanjaya bebas siasat tragedi HSA
Tan Su Lin
Oktober 26, 2016 12:38 MYT
Oktober 26, 2016 12:38 MYT
Satu usul tergempar mengenai insiden kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dibentangkan di Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam usul berkenaan mencadangkan agar satu suruhanjaya siasatan bebas ditubuhkan bagi menyiasat insiden yang mengorbankan 6 nyawa semalam.
"Suruhanjaya itu diharap dapat mengenalpasti punca sebenar insiden berkenaan dan memberi cadangan penambahbaikan agar insiden sama tidak berulang," katanya semasa membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Ujar Dr Subramaniam susulan kejadian semalam, 6 daripada 7 pesakit di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA terkorban manakala sorang lagi berjaya diselamatkan dan ditempatkan di wad ICU Hospital Sultan Ismail (HSI).
Pesakit berkenaan ketika ini dalam keadaan stabil tetapi masih membimbangkan kerana beliau menghidap penyakit jantung.
Dr Subramaniam turut memuji keberanian tiga kakitangan HSA, iaitu dua jururawat dan seorang pelajar fisioterapi, yang telah cuba sedaya upaya menyelamatkan pesakit walaupun berdepan risiko keselamatan.
"Dalam usaha menyelamatkan pesakit dan membawa mereka ke kawasan selamat, mereka terhidu kepulan asap tebal dan telah pengsan. Ketiga-tiga mereka kemudian diselamatkan dan diberi bantuan pernafasan."
"Cubaan dan keberanian mereka bertindak menyelamatkan pesakit, walaupun membawa risiko kepada mereka, demi pesakit, adalah satu tindakan yang sangat murni dan amat dihargai. Sikap mereka yang sangat bertanggungjawab amat dibanggakan," katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan ketiga-tiga mereka mengalami kecederaan paru-paru akibat terhidu asap tebal dan kini menerima rawatan di wad ICU HSI.
Dr Subramaniam turut menyifatkan kejadian itu sebagai peristiwa yang amat menyedihkan dan pihaknya telah bertemu dengan ahli keluarga mangsa untuk menzahirkan rasa simpati.
"Doa dan ingatan sentiasa bersama mereka dan diharap mereka diberi kekuatan menempuhi saat ini," katanya.
#Datuk Seri Dr S Subramaniam
#Dewan Rakyat
#Hospital Sultanah Aminah
#kebakaran
#suruhanjaya siasatan bebas
#usul tergempar