Kementerian tidak cadang turunkan tahap IPU penutupan sekolah - Mahdzir

Bernama
September 14, 2015 00:34 MYT
MAHDZIR: Sekolah akan hanya ditutup apabila IPU mencecah 200 dan Kementerian Pendidikan tidak bercadang menurunkannya kepada 150. -Gambar fail
Sekolah-sekolah akan hanya ditutup apabila Indeks Kualiti Udara (IPU) mencecah 200 dan Kementerian Pendidikan tidak bercadang menurunkannya kepada tahap IPU 150 sebagaimana diminta oleh beberapa
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penetapan tahap IPU pada 200 sebelum sekolah-sekolah ditutup itu merupakan prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan serta Jabatan Alam Sekitar.
"Itu permintaan dia (daripada PIBG supaya kadar IPU itu diturunkan kepada 150), kita ada prosedur sendiri yang sememangnya ditetapkan begitu. Saya tidak kata tidak boleh tetapi prosedur memang begitu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
PIBG meminta kadar IPU bagi sekolah-sekolah ditutup diturunkan kepada 150 daripada 200 kerana keadaan berjerebu telah menjejaskan tahap kesihatan murid.
Mahdzir berkata, pihak sekolah perlu memastikan tahap keselamatan murid-murid sekiranya mereka memutuskan untuk menutup sekolah itu selepas tahap IPU melebihi 200.
#IPU #Jabatan Alam Sekitar #kesihatan pelajar #pencemaran udara #PIBG #sekolah
;