Kementerian tambah warden 63 peratus atasi kes buli- Fadhlina
Bernama
November 14, 2023 14:58 MYT
November 14, 2023 14:58 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) telah menambah bilangan warden sebanyak 63 peratus bermula 1 Ogos 2022 dengan julat sekurang-kurangnya tiga orang di sebuah asrama sebagai langkah pencegahan kes buli, kata Menterinya Fadhlina Sidek.
Fadhlina berkata KPM juga mengadakan kempen peningkatan kemahiran kepada warden dan ketua warden dari semasa ke semasa bersesuaian dengan tugas warden seperti yang digariskan dalam Garis Panduan Tadbir Urus Sekolah (MySG).
"Selain itu, kementerian juga melaksanakan sistem rumah di asrama sebagai antara usaha untuk menghasilkan modal insan yang mempunyai kecemerlangan ilmu, kemampanan sahsiah, kesejagatan kepimpinan serta melakukan program sahsiah unggul murid di sekolah menengah.
"Jadi semua program ini kami telah jalankan termasuk dengan perkara yang dilaksanakan di bawah Garis Panduan Intervensi Buli, di semua institusi KPM," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) berhubung langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh kementerian supaya kes buli tidak berlaku.
-- BERNAMA