Kementerian Sumber Manusia wujud pasukan petugas khas kaji dasar kerja waktu malam

Bernama
Mei 4, 2019 06:47 MYT
Kula Segaran (dua, kanan) bersama tetamu pada Majlis Pelancaran Novel Tamil 'Kandi Seemai' tulisan Maathalai Somu di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh, 4 Mei, 2019. --fotoBERNAMA
Kementerian Sumber Manusia akan mewujudkan pasukan bertindak khas untuk mengkaji cadangan bekerja pada waktu malam bagi sektor pekerjaan tertentu dilaksanakan.
Menterinya M. Kula Segaran berkata cadangan itu yang diutarakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini memerlukan kajian terperinci selain mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak.
"Setelah kajian selesai, kita akan bawa perkara ini ke Kabinet," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan buku berbahasa Tamil bertajuk 'Kandi Seemai' (Candy City) karya Maathalai Somu, di Institut Latihan Perindustruian Ipoh di sini pada Sabtu.
Kula Segaran yang juga Anggota Parlimen Ipoh Barat mengulas mengenai cadangan Dr Mahathir yang mahu melaksanakan dasar berkenaan.
Khamis lepas, Dr Mahathir ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tautan Muhibah anjuran Biro Ekonomi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Segambut di Laman Zarlith di Kuala Lumpur berkata kerajaan sedang memikirkan untuk mengalihkan waktu bekerja siang kepada waktu malam dalam sektor pekerjaan tertentu.
-- BERNAMA
#dasar #ekonomi #kabinet #kaji cadangan #kajian terperinci #kerajaan #kerja malam #kerja siang #M Kula Segaran #Mahathir Mohamad #malam #pasukan bertindak khas #pasukan petugas khas #pekerjaan
;