Kementerian sedia lupus kursus tidak relevan di IPT - Idris Jusoh
Adie Sufian Zulkefli
April 10, 2018 15:17 MYT
April 10, 2018 15:17 MYT
Kementerian Pendidikan Tinggi bersedia untuk melupuskan kursus yang kurang relevan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), sejajar dengan hasrat kerajaan melahirkan pelajar berkemahiran digital bagi berdepan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).
Menurut Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, sebaliknya kursus-kursus baharu yang berkaitan akan diwujudkan dalam usaha mendedahkan pelajar kepada IR4.0 yang menuntut perubahan seiring dengan transformasi digital untuk lebih berdaya saing.
"InsyaAllah, tahun ini kita akan melatih 600 pensyarah bagi mengetahui apakah cabaran-cabaran pendidikan selaras dengan IR4.0. Kita bersedia untuk menghadapi cabaran tersebut dan harus pastikan pelajar kita selaras dengan kehendak teknologi masa kini," katanya selepas merasmikan Kolej Komuniti Cawangan Jerlun hari ini.
Beliau menambah, manifesto Barisan Nasional menjanjikan masa depan sektor pendidikan negara yang inklusif berdepan IR4.0 dengan memahirkan lima juta pelajar sekolah berkemahiran digital.
Dalam pada itu, Idris berkata kadar kebolehpasaran graduan Kolej Komuniti di negara ini adalah 96.7 peratus, membuktikan ia antara institusi pendidikan yang terbaik di negara ini.
Malah katanya, permohonan untuk memasuki Kolej Komuniti semakin meningkat berikutan pelbagai kursus yang ditawarkan seperti seni bina, fesyen, pastri dan automotif yang sesuai dengan kehendak pasaran kini.
Kolej Komuniti Jerlun adalah yang ke-95 di negara ini dan ke-10 di Kedah. Ia menawarkan program sepenuh masa Sijil Teknologi Seni Bina bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.
#Idris Jusoh
#Industri Revolusi 4 0
#IR 4 0
#kemahiran digital
#Kementerian Pendidikan Tinggi
#kolej komuniti