Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan cari kaedah lain kawal hartanah

Bernama
Ogos 27, 2020 11:35 MYT
KPKT mengambil penetapan pihaknya akan mencari kaedah lain untuk mengawal pemaju daripada membina rumah-rumah yang tidak sepadan dengan permintaan. - Gambar hiasan
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menggunakan kaedah lain bagi mengawal isu unit rumah tidak terjual selain cadangan cukai pengosongan yang dikenakan ke atas pemaju yang gagal menjual unit masing-masing.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin bagaimanapun berkata cadangan membabitkan cukai pengosongan itu masih belum diputuskan pada ketika ini.
Menurutnya, pada masa ini cadangan tersebut dibuat berdasarkan maklumat diperolehi KPKT bahawa unit hartanah tidak terjual itu berharga RM500,000 ke atas.
"KPKT mengambil penetapan bahawa kita akan mencari kaedah lain untuk mengawal pemaju daripada membina rumah-rumah yang tidak bertepatan (sepadan) dengan permintaan.
"Sebelum pemaju memulakan pembinaan, KPKT akan meneliti sama ada apa yang dicadangkan pemaju projek ini wajar dan bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh rakyat," katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Chang Lih Kang (PKR-Tanjong Malim) mengenai rasional cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk melaksanakan cukai pengosongan terhadap pemaju perumahan yang gagal menjual rumah siap.
"Apabila kita berjaya membangunkan sistem data, barulah kita dapat memperolehi jangkaan sebenar. Ini kerana hanya selepas itu mereka (pemaju) mendapat akses kepada maklumat statistik bagi perancangan pembinaan mereka bagi masa depan," katanya.
-- BERNAMA
#Chang Lih Kang #cukai pengosongan #Dewan Rakyat #hartanah #KPKT #pemaju #pembinaan #rumah #sistem data #Zuraida Kamaruddin
;