Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani rancang kempen beli, sokong produk Malaysia

Bernama
Oktober 8, 2019 23:40 MYT
Sim Tze Tzin menyeru rakyat Malaysia supaya ubah sikap, ubah persepsi dan memilih barangan tempatan. Ini sekali gus dapat merancakkan ekonomi tempatan. - Astro AWANI
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kini merancang satu kempen bagi menggalakkan rakyat Malaysia membeli dan menyokong produk tempatan dalam usaha mengurangkan kos import makanan negara yang tinggi berjumlah RM52 bilion tahun lepas.
Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata sokongan rakyat Malaysia terhadap barangan keluaran tempatan akan mewujudkan satu pasaran yang stabil untuk pengeluar tempatan dan dalam jangka panjang, akan menggalakkan lebih ramai orang mengeluarkan barangan untuk pasaran tempatan dan eksport.
"Di Malaysia, selalunya kita mengagung-agungkan produk daripada luar negara. Kita harus berbangga dan yakin bahawa produk pertanian Malaysia adalah setaraf atau lebih baik dari luar negara.
"Jika lebih ramai rakyta Malaysia makan produk tempatan, kita akan mempunyai lebih banyak pasaran, dengan itu lebih ramai yang akan mula bercucuk tanam," katanya ketika ditemui pada majlis makan tengah hari yang dihoskan Kedutaan Perancis di sini pada Selasa.
Menjadikan orang Perancis sebagai contoh, Sim berkata beliau dimaklumkan Duta Perancis Frederic Laplanche bahawa mereka malah sanggup membayar antara 15 hingga 20 peratus lebih tinggi daripada harga barangan import bagi menyokong produk tempatan.
"Saya ingin menyeru rakyat Malaysia supaya ubah sikap, ubah persepsi dan memilih barangan tempatan. Ini sekali gus dapat merancakkan ekonomi tempatan," katanya.
Sim berkata dari segi keselamatan makanan, Malaysia ketika ini di tempat kedua di Asia Tenggara, di belakang Singapura.
Beliau berkata Malaysia mengeluarkan produk seperti ayam dan telur yang mencukupi namun pengeluaran produk lain seperti beras dan sayur-sayuran perlu dipertingkat.
"Saya tidak faham kenapa kita tidak boleh mengeluarkan (sayur-sayuran seperti) timun. Kita mengimport (timun) bernilai RM100 juta setahun. Sama seperti cili, kita import (sebanyak) RM240 juta setahun namun Malaysia boleh mengeluarkan cili, jadi kenapa kita perlu mengimport cili?" soal beliau.
Sim berkata selama bertahun-tahun Malaysia tidak memfokus kepada pertanian namun sekarang adalah masa untuk melihat sektor itu semula dan menjadikannya hebat kembali.
Beliau turut menggalakkan petani Malaysia meneroka produk pertanian baharu yang boleh menghasilkan sumber kekayaan baharu kepada mereka seperti vanila yang mempunyai permintaan tinggi di seluruh dunia.
Menurut laporan, harga vanila gred satu yang diekstrak dari Madagascar, pengeluar terbesar vanila di dunia, mencecah US$600 (RM2,516) sekilogram tahun lepas.
Beliau berkata pihaknya akan mengkaji program yang boleh menggalakkan petani muda meneroka tanaman baharu yang berpotensi.
Setakat ini, Sim berkata kementerian itu, antara lain, mengendalikan beberapa kursus untuk mendidik petani berkaitan teknik penanaman.
-- BERNAMA
#Duta Perancis Frederic Laplanche #ekonomi #Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani #Malaysia #rakyat #Sim Tze Tzin
;