Kementerian Pertahanan kaji tambah baik kemudahan warga ATM

Bernama
Jun 5, 2018 06:06 MYT
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berucap pada majlis berbuka puasa warga Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi pada Selasa. - Foto BERNAMA
Kementerian Pertahanan akan mengkaji untuk menambah baik kemudahan dan insentif yang diberikan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk anggota veteran.
Menterinya Mohamad Sabu berkata insentif yang diterima warga ATM kini perlu diperhalusi agar sejajar dengan keadaan ekonomi negara.
"Antaranya mengkaji semula kaedah terbaik agar semua anggota mampu memiliki rumah walaupun sebelum ini pernah diwujudkan skim Satu Anggota Satu Rumah (SASAR).
"Selain itu, kita akan melihat semula elaun Iain yang sesuai untuk diberikan kepada anggota Tentera Darat. Ini kerana mereka merupakan tunjang kepada keselamatan sempadan negara yang perlu kita berikan perhatian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama warga Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.
Turut hadir Panglima Tentera Darat Tan Sri Zulkiple Kassim dan Timbalan Panglima Tentera Darat Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi serta hampir 1,000 warga Tentera Darat.
-- BERNAMA
#anggota veteran #Angkatan Tentera Malaysia #ATM #insentif #Kementerian Pertahanan #kemudahan #Mohamad Sabu #Sasar #Satu Anggota Satu Rumah #tentera darat
;