Kementerian Pertahanan jalin kerjasama tingkatkan sistem pertahanan siber negara - Adly

Fareez Azman
Ogos 16, 2023 16:34 MYT
ADLY: Kertas Putih Pertahanan juga menggariskan keperluan organisasi yang berdedikasi untuk mengendalikan domain siber menerusi kerjasama Kementerian Pertahanan dengan organisasi lain. -Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi dalam merangka struktur baharu Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan dalam meningkatkan sistem pertahanan siber negara.
Menurut Timbalan Menterinya, Adly Zahari, perkara itu antara digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan dalam meningkatkan keupayaan sistem pertahanan siber negara.
"Kertas Putih Pertahanan juga menggariskan keperluan organisasi yang berdedikasi untuk mengendalikan domain siber menerusi kerjasama Kementerian Pertahanan dengan organisasi lain.
"Ia bagi mewujudkan struktur pertahanan dan bahagian elektromagnetik, sekali gus penyediaan kepada anggota pertahanan di negara ini setanding dengan organisasi pertahanan siber di rantau ini dan seluruh dunia," jelasnya.
Tambah Adly, keperluan meningkatkan pertahanan siber amat diperlukan ketika ini, demi memastikan keselamatan negara terus utuh.
Kementerian Pertahanan akan tingkatkan sistem pertahanan siber negara - Adly
Malah pada zaman teknologi tanpa sempadan, jelas Adly lagi, bidang Kecerdasan Buatan (AI), Internet of Things, dan blockchain memberi cabaran kepada negara untuk melindungi maklumat penting.
"Saya berharap platform ini akan menyokong dalam membolehkan kerjasama komprehensif dan inklusif antara sektor, malah idealnya menyumbang kepada konsep pertahanan komprehensif, salah satu tonggak strategik Strategi Pertahanan Malaysia," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Siber Siaga 2023 di ibu negara pada Rabu.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan ATM, Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin.
#Adly Zahari #Kementerian Pertahanan #Kertas Putih Pertahanan #sistem pertahanan siber negara
;