Kementerian Pertahanan garis lima fokus perkasa ATM

Bernama
Januari 9, 2024 19:43 MYT
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan ucapan pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2024 di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menggariskan lima strategi tahun ini bagi memperkasakan hala tuju Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendepani cabaran serta meningkatkan patriotisme rakyat.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia merangkumi pemantapan sistem pertahanan negara, mengemas kini perancangan bagi mendepani cabaran lebih kompleks serta menjaga kebajikan dan pembangunan kapasiti anggota.
Beliau berkata selain itu, usaha untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat juga diberi tumpuan serta memastikan negara terus komited mempertahankan undang-undang serta keamanan sejagat.
"Fokus pertama ialah memastikan sistem pertahanan negara berada dalam keadaan bersedia dengan meneruskan proses pemodenan kelengkapan dan aset ketenteraan, pengukuhan keupayaan ilmu serta kepakaran dan membangunkan ekosistem sokongan pertahanan negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Mohamed Khaled juga mahu kementeriannya merancang strategi pertahanan yang lebih ampuh bagi berhadapan dengan cabaran semakin kompleks terutama berkaitan perkembangan teknologi disruptive.
Selain itu, dasar sedia ada perlu diperkasa dengan memberi pemikiran dan fokus baharu bagi menghadapi pelbagai ancaman dalaman dan luar.
Beliau berkata dalam memperkasakan ATM, kementerian juga komited menjaga kebajikan warganya dengan menyediakan pelbagai kemudahan bukan sahaja merangkumi perumahan, pinjaman serta sokongan perubatan dan kesihatan, sebaliknya turut membuka peluang kepada anggota untuk menjadikan tempoh perkhidmatan sebagai sesi pengajian.
"Sasaran saya, semua anggota yang menamatkan perkhidmatan dalam sektor pertahanan negara akan menjadi sekurang-kurangnya pemegang sijil atau diploma atau kelulusan lain dari institusi pendidikan tinggi atau institut latihan awam," katanya.
Bagi memupuk semangat patriotisme rakyat, Mohamed Khaled berkata Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dikembalikan.
"Keputusan kerajaan mengembalikan PLKN harus dijayakan sebaiknya bagi memupuk perpaduan, membuka ruang dan peluang untuk kita pasakkan dalam jiwa anak bangsa, jati diri dengan acuan dan cara kita berdasarkan nilai-nilai kebangsaan yang kita junjung serta meningkatkan kefahaman, penghayatan Malaysia MADANI," katanya.
Beliau berkata strategi dan pendekatan yang telah diamalkan sebelum ini akan diteruskan bagi meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang komited dan tegas dalam mempertahankan undang-undang, nilai kemanusiaan dan keamanan sejagat.
"Nilai-nilai unggul seperti ihsan, hormat, daya cipta, keyakinan dan kesejahteraan ialah hasil langsung yang terbit dari sebuah negara yang aman, selamat dan terpelihara.
"Nilai-nilai inilah yang memimpin kita untuk lantang menyanggah perkara-perkara seperti pencerobohan wilayah, penjajahan bentuk baharu, pembantaian dan pembunuhan beramai-ramai sesuatu etnik, serta pelanggaran hak asasi manusia mahupun prinsip-prinsip keamanan sejagat di bawah undang-undang dan badan antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia #Mohamed Khaled Nordin #lima strategi #sistem pertahanan negara
;