'Kementerian Pertahanan beri kerjasama penuh isu Puspahanas' - Hishammuddin
Wan Syamsul Amly
November 24, 2015 18:44 MYT
November 24, 2015 18:44 MYT
Kementerian Pertahanan akan menyediakan apa sahaja dokumen yang diperlukan untuk bekerjasama dalam isu kelewatan projek pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas)
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, siasatan harus dilakukan namun tidak mahu mana-mana individu yang tidak berdosa menjadi mangsa.
"Apa sahaja perbincangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) harus disegerakan untuk memastikan isu itu segera diselesaikan.
"Saya harap kementerian akan menyediakan apa juga yang perlu disediakan. Benda yang salah tetap salah tetapi dalam hendak membuat siasatan itu jangan ada yang tidak berdosa menjadi mangsa.
"Kita di dalam kementerian tidak teragak-agak untuk beri kerjasama sepenuhnya dalam apa sahaja yang berlaku," katanya semasa sidang media selepas Majlis Penutup Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Hishammuddin mengulas mengenai kelewatan pembinaan Puspahanas di Presint 1, Putrajaya yang mengalami kelewatan selama 282 hari disebabkan prestasi kerja kontraktor yang amat perlahan.
Kelewatan projek bernilai RM99 juta itu menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos kerugian sebanyak RM26.87 juta berikutan pengurangan nilai tanah balasan projek itu.
Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 3 mendedahkan kontraktor yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek itu, Syarikat Awan Megah Sdn Bhd (AMSB) gagal mengemukakan pelan pemulihan dengan menggunakan kaedah Critical Path Method yang baru setakat lawatan audit dijalankan pada Julai 2015.