Kementerian Pertahanan bawa kertas penyelarasan pencen ATM ke Jawatankuasa Kabinet
Bernama
Ogos 7, 2023 00:04 MYT
Ogos 7, 2023 00:04 MYT
REMBAU: Kementerian Pertahanan telah membawa kertas cadangan penyelarasan pencen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khusus bagi anggota yang bersara pada 2013 dan sebelumnya untuk perhatian Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini kerana terdapat anomali dalam struktur pencen bagi golongan itu selepas penyelarasan gaji pada 2013.
"Ini menjadi isu kerana pada 2013, ada penyelarasan gaji dibuat tetapi pencen ATM tidak diselaraskan. Ini menjadi masalah dan punca kepada kegelisahan anggota tentera veteran yang berpencen pada 2013 dan sebelumnya.
"Kita harap penyelarasan pencen ini diberikan perhatian, anggota yang pencen selepas 2013 tidak ada masalah," katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi Selemak di sini hari ini.
Mohamad, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, berkata pengundi menunjukkan respons positif terhadap calon parti komponen itu pada Pilihan Raya Negeri di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan.
"Jelas sekali daripada laporan diterima dan penglihatan saya sendiri, respons pengundi amat baik, jadi kita harap 12 Ogos ini ia akan dapat diterjemahkan," katanya.
-- BERNAMA