Kementerian Pertahanan akan senarai hitam kontraktor gagal laksana projek
Harits Asyraf Hasnan
Februari 2, 2016 16:32 MYT
Februari 2, 2016 16:32 MYT
Kementerian Pertahanan tidak akan teragak-agak untuk menyenarai hitam kontraktor atau syarikat yang terlibat dalam projek bermasalah sekiranya gagal kemuka alasan kukuh.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata anggota tentera akan menjadi mangsa lantaran kegagalan kontraktor menyiapkan projek pada tempoh yang ditetapkan.
Tegas Hishammuddin, tidak ada tolak ansur dalam kesiapsiagaan aset dan kebajikan anggota.
"Ini perlu dilihat secara serius kerana kalau projek ini tidak siap, yang menjadi mangsa adalah ahli-ahli anggota kita yang tidak berdosa.
"Blok seperti ini, kelas G adalah untuk (pangkat) korporal dan ke bawah, berpangkat rendah. Jadi bila projek tidak siap bermakna mereka ini akan menjadi mangsa," katanya kepada media selepas melakukan lawatan mengejut ke projek naik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Tun Hussein Onn (DTHO) di sini hari ini.
Susulan lawatan mengejut itu, Hishammuddin turut mengarahkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau projek di bawah kementerian itu.
"Saya telah minta Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan untuk menubuh dan mempengerusikan sebuah Jawatankuasa Khas bagi memantau perkembangan projek-projek di bawah kementerian ini.
"Ini termasuklah projek-projek sakit dan projek-projek yang tidak dapat disipakan mengikut jadual," katanya.
Malah, Hishammuddin turut memberi komitmen untuk sentiasa turun padang dan melakukan lawatan mengejut bagi memastikan projek pembangunan kepada anggota tentera tidak dipinggirkan.
"Selepas ini, saya akan melakukan lebih banyak lawatan mengejut seperti ini untuk memastikan aspek kebajikan, kesiapsiagaan aset dan kemudahan pendidikan sentiasa mendapat pembelaan yang sewajarnya.
"Melalui lawatan mengejut seperti ini, saya sendiri dapat menilai tahap pelaksanaan projek serta masalah yang dihadapi," katanya.
Projek naik taraf blok E4 DTHO yang menempatkan 160 unit rumah dijadual siap sepenuhnya pada 7 Januari tahun ini.
Namun, hingga hari ini pihak kontraktor hanya menyiapkan 74.5 peratus sahaja.
Turut hadir sama pada lawatan mengejut itu adalah KSU Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Setiausaha Bahagian Pembangunan Datuk Zaiton Johari dan Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) Brigadier Jeneral Datuk Abu Suffian Ahmad.
#Hishammuddin Hussein
#Kementerian Pertahanan tidak akan teragak-agak untuk menyenarai hitam kontraktor atau syarikat yang terlibat dalam projek bermasalah sekiranya gagal kemuka alasan kukuh