Kementerian Perpaduan Negara pertimbang naik taraf kuil berusia lebih 100 tahun
Bernama
Jun 2, 2024 09:45 MYT
Jun 2, 2024 09:45 MYT
TANAH MERAH: Kementerian Perpaduan Negara mempertimbang langkah menaik taraf Kuil Sri Maha Mariamam dekat sini yang dibina kira-kira 108 tahun lepas untuk memberi keselesaan kepada orang ramai dan penganut agama Hindu yang mengunjunginya.
Timbalan Menteri berkenaan K. Saraswathy berkata kuil yang terletak di Ladang Kerilla itu dikunjungi penganut agama Hindu dari seluruh negara setiap hujung minggu selain untuk acara keagamaan dan perayaan.
Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa penambahbaikan yang perlu dilaksana untuk menambah keceriaan kuil itu.
"Antaranya penyediaan dewan, kemudahan tandas, sistem paip, menambah keceriaan kuil dengan cat baharu dan menyediakan kawasan parkir," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-108 kuil itu dan perayaan Aandu Thiruvizha serta Program Semarak Perpaduan di sini semalam.
Saraswathy berkata Kementerian Perpaduan Negara turut menerima memorandum daripada pihak pengurusan kuil berhubung masalah itu.
"Saya akan meneliti memorandum ini untuk mendapatkan bantuan sewajarnya bagi membolehkan pihak pengurusan kuil membaiki kerosakan dan menambah kemudahannya," kata beliau.
-- BERNAMA