Kementerian Perpaduan berjaya laksana lebih 300 program berimpak tinggi tahun ini

Afiezy Azaman
November 26, 2024 13:30 MYT
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah mengambil pendekatan melalui pelaksanaan program untuk merapatkan jurang sosial antara rakyat Malaysia sekaligus meraikan kepelbagaian budaya, adat resam, perayaan dan warisan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerjasama antara agensi Kerajaan merentasi sempadan portfolio amat diperlukan bagi merealisasikan matlamat pembangunan Malaysia MADANI dan perpaduan negara.

Ringkasan AI
  • Kerjasama Agensi Kerajaan: Kerjasama antara agensi kerajaan diperlukan untuk mencapai matlamat pembangunan Malaysia MADANI dan perpaduan negara melalui pelbagai program yang merapatkan jurang sosial dan meraikan kepelbagaian budaya.
  • Pelaksanaan Program Berimpak Tinggi: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah melaksanakan lebih 300 program berimpak tinggi yang berteraskan kluster Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan, dan Komuniti Rahmah untuk memupuk perpaduan dan keharmonian.
  • Komitmen Terhadap Harmoni dalam Kepelbagaian: Menuju tahun 2025, KPN komited untuk mengangkat tema "Harmoni dalam Kepelbagaian" dengan pelbagai inisiatif seperti Ekosistem Perpaduan, Eksplorasi Rukun Negara, Inisiatif Harmoni MADANI, dan Komuniti Sosio-Budaya.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah mengambil pendekatan melalui pelaksanaan program untuk merapatkan jurang sosial antara rakyat Malaysia, sekali gus meraikan kepelbagaian budaya, adat resam, perayaan dan warisan.
Menurut Timbalan Ketua Setiausahanya, Mohamad Sobri Mat Daud, KPN melalui kesemua agensi telah berjaya melaksanakan lebih 300 program berimpak tinggi yang berteraskan kepada kluster Semarak
Kenegaraan, Semarak Perpaduan, dan Komuniti Rahmah.
"Kluster Komuniti Rahmah merangkumi program seperti Pemerkasaan KRT Progresif, Biasiswa Tunku Abdul Rahman, Mediator Komuniti, dan Cilik Perpaduan.
"Bagi Kluster Semarak Perpaduan pula merangkumi program Sambutan Minggu Perpaduan, Liga Sukan Uniti, Inisiatif Harmoni Madani, Misi Sukarelawan Siswa, Citra Nusa Muzium, dan Karnival Baca Perdana.
"Manakala program di bawah Kluster Semarak Kenegaraan adalah Penghayatan Rukun Negara, Bahasa Kolokial, FoodUnites, Negarawan Kita, Semarak Muzium, dan Persidangan Manuskrip," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam Program AWANI Pagi bersempena dengan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Program 2TM bertujuan menguar-uarkan pencapaian semasa Kerajaan MADANI khususnya bagi tahun 2024 selain meningkatkan pemahaman dan kesedaran umum terhadap hala tuju dan matlamat Kerajaan.
Mohamad Sobri berkata, melalui 2TM, KPN telah membuka reruai dan menawarkan pelbagai tarikan seperti Perkhidmatan Cuci Emas percuma, Program Penukaran Buku, Jom Cuba Makanan Tradisional, Pameran Utama Muzium, Tayangan Video Sejarah, Demonstrasi Pemeliharaan Rekod dan pelbagai aktiviti yang bersesuaian dengan pelbagai lapisan umur dan masyarakat berbilang kaum negara.
Menuju ke tahun 2025, Mohamad Sobri berkata, KPN komited untuk mengangkat tema Kementerian iaitu “Harmoni dalam Kepelbagaian” seperti diumumkan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata, pelaksanaan program ataupun inisiatif oleh KPN akan dibahagikan kepada empat ikhtiar iaitu Ekosistem Perpaduan untuk pemerkasaan jentera perpaduan dan pembangunan belia menerusi aktiviti perpaduan.
"Ikhtiar Eksplorasi Rukun Negara bagi meningkatkan penghayatan dan pengamalan nilai Rukun Negara dalam kehidupan seharian.
"Inisiatif Harmoni MADANI pula melalui program seperti Sambutan Minggu Keharmonian Sedunia, Penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan, Kajian Semula dan Pengukuhan Indeks Ketegangan Masyarakat (IKM) dan Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Semenanjung Malaysia," katanya.
Sementara itu, ikhtiar Komuniti Sosio-Budaya pula bertumpu kepada meningkatkan minat terhadap warisan budaya khususnya melalui aktiviti oleh Jabatan Muzium Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, dan Arkib Negara Malaysia.
Justeru itu, Mohamad Sobri mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk berusaha menyemai perasaan kebersamaan dalam kalangan rakyat, kerana harmoni dalam kepelbagaian inilah yang akan membawa Malaysia menuju kemajuan dan kemakmuran yang berkekalan.
#perpaduan #KPN #Kerajaan Madani #Aaron Ago Dagang
;