Kementerian perlu peruntukan lebih besar depani krisis ekonomi, makanan - Mohamad Sabu

Bernama
Disember 5, 2022 18:40 MYT
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan disarankan untuk memberikan peruntukan yang lebih besar kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam mendepani krisis ekonomi dan makanan yang dijangka berlaku pada tahun hadapan.
Menterinya Mohamad Sabu berkata ini juga sekali gus bagi melicinkan pengoperasian kementerian dan memastikan semua perancangan berada dalam keadaan teratur.
"Masalah besar ialah masalah peruntukan yang kita yakin Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri kena lihat soal peruntukan kerana kementerian juga merupakan barisan hadapan dalam mendepani krisis ekonomi dan krisis makanan yang mungkin berlaku pada masa akan datang.
Sekarang pun bahan utama makanan masih mahal... kita akan cuba mainkan peranan untuk stabilkan harga-harga, peruntukan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan mesti ditambah untuk gerakan kementerian lebih licin dan teratur," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat dengan kepimpinan tertinggi kementerian di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata isu bekalan makanan harian dengan tawaran harga yang berpatutan menjadi antara agenda utamanya selepas diberikan tanggungjawab untuk menerajui kementerian itu.
Beliau berkata ini termasuklah isu berkaitan ketidaktentuan bekalan dan harga telur ayam di pasaran.
"Pertama sekali soal harga telur sebab itu makanan umum daripada golongan miskin hingga ke kelas atasan makan telur jadi ini perkara perlu ambil perhatian khas disamping harga ikan dan ayam.
Selain itu, soal kecukupan makanan dengan harga berpatututan amatlah penting kerana itulah perkara ini juga ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 dan selepas angkat sumpah iaitu soal sekuriti makanan perlu diambil berat.
Beliau berkata pihaknya akan meneruskan perancangan sedia ada dan sebarang perkara baharu yang mahu dilaksanakan akan dibincangkan bersama pegawai yang lebih berpengalaman dalam kementerian ini.
"Kementerian ini adalah satu lapangan baharu buat saya kerana sebelum ini saya di Kementerian Pertahanan yang selalunya bercakap soal keselamatan negara tetapi sekarang dengan kementerian berkaitan kehidupan seharian manusia iaitu makanan harian dan pertanian... ini cabaran pada saya," katanya.
Terdahulu Mohamad tiba di pejabatnya di Wisma Tani di sini dan mengimbas kad perakam waktu pukul 1.35 tengah hari tadi sebagai simbolik bermulanya tugas beliau secara rasmi selaku menteri bagi portfolio itu.
Dalam pembentangan Bajet 2023 Oktober lepas sebelum Parlimen dibubarkan, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
-- BERNAMA
#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #Mohamad Sabu #harga telur ayam #krisis ekonomi dan makanan
;