Kementerian Pengangkutan yakin kerjasama Selangor dalam pelaksanaan ECRL
Bernama
April 6, 2021 21:30 MYT
April 6, 2021 21:30 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyuarakan keyakinan bahawa kerajaan negeri Selangor akan dapat memberikan kerjasama yang baik dengan kerajaan Persekutuan dalam menangani isu berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kerana projek mega itu tidak boleh ditangguhkan lagi.
Beliau berkata sekiranya projek itu ditangguhkan lagi, keseluruhan perkhidmatan rel sejauh 665 kilometer dari Kota Bahru ke Pelabuhan Klang itu tidak akan dapat beroperasi, selain negara berhadapan dengan kemungkinan mengalami kerugian dari segi pengurusan pinjaman.
"Saya yakin, kebanyakan mereka adalah pegawai profesional, terutama ahli politik. Saya amat yakin Menteri Besar dan pihak berkuasa negeri akan memberikan kerjasama penuh," katanya semasa mengulas kenyataan Exco Negeri Teng Chang Khim tidak akan membantu dalam mendapatkan tanah bagi projek itu sekiranya kerajaan Persekutuan bertegas mengenai Jajaran Utara ECRL.
Semalam Wee mengumumkan bahawa Seksyen C atau Jajaran Utara ECRL dari Mentakab ke Pelabuhan Klang telah dikembalikan kepada jajaran asal sebagaimana yang dicadangkan pada 2016-2017.
Ia susulan keputusan kabinet pada 2 Sept lepas yang meluluskan jajaran itu, dan mesyuarat pada 31 Mac, yang berusaha untuk menyegerakan pelaksanaan projek jajaran utara itu, yang menghubungkan Mentakab dengan Pelabuhan Klang, melalui Bentong, Gombak dan Serendah.
Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Nota Kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini Wee berkata, MOT telah melakukan yang terbaik dalam menangani dan berbincang dengan semua kerajaan negeri yang terlibat.
"Kita tidak boleh tunggu, dan kita telah tunggu sejak lapan bulan lepas. Kita cuba yang terbaik untuk berbincang dengan kerajaan negeri. Kita sudah adakan 37 mesyuarat rundingan bersama dengan 17 agensi di Selangor," katanya dan menambah setiap perkara yang dibangkitkan oleh kerajaan Selangor, termasuk aspek sosial dan alam sekitar telah ditangani.
-- BERNAMA
#KKM
#MOT
#ECRL
#Jajaran Utara
#Pelabuhan Klang
#kabinet
#Wee Ka Siong
#Selangor
#Kerajaan Selangor
#kerajaan Persekutuan
#kerjasama baik