Kementerian Pengangkutan semak semula lima projek pembangunan - Anthony Loke
Bernama
Disember 20, 2022 14:16 MYT
Disember 20, 2022 14:16 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan bersetuju membuat semakan semula ke atas lima projek pembangunan yang melibatkan nilai kontrak keseluruhan hampir RM650 juta untuk dilaksanakan secara tender terbuka atau tender terhad.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan hari ini berkata kelima-lima projek tersebut sebelum ini telah diluluskan untuk dibuat perolehan secara rundingan terus, namun Surat Setuju Terima belum dikeluarkan.
Projek pembangunan terlibat ialah Kerja-kerja Penstabilan dan Re-Profile Cerun-cerun di Landasan Keretapi Pahang (Mentakab-Merapoh) dan di Landasan Keretapi Kelantan (Gua Musang-Tumpat).
Turut terlibat ialah Pelantikan Independent Checking Consultant (ICC) bagi Projek Menaik Taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) Fasa 2; Landasan Pantai Timur-Pemuliharaan Landasan Gua Musang-Tumpat dan Baik Pulih Kerosakan Akibat Banjir (Pakej C); projek Landasan Pantai Timur-Membaik pulih dan projek Menaik taraf Landasan Gemas-Mentakab (Pakej A).
"Pelaksanaan perolehan secara tender ini juga adalah selaras dengan komitmen kerajaan baharu untuk mengehadkan amalan tender secara rundingan terus," kata Loke.
-- BERNAMA